Kemalangan Maut 3 Sekeluarga: Pemandu Treler Positif Dadah Hadap 3 Tuduhan Membunuh

LocalPolitics
7 Apr 2026 • 1:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR — Seorang pemandu treler didakwa atas tiga pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Segamat, Johor hari ini, susulan kemalangan maut yang meragut nyawa tiga sekeluarga, Khamis lalu. 

Tertuduh, Muhamad Shafiq Salleh, 39, yang masih bujang, hanya mengangguk tanda faham ketika ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Johar.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan pertuduhan bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh S Palamiandy, 77, K Myakrishnan, 72, dan S Sevendai, 62, di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru–Seremban kira-kira jam 3.50 petang, 2 April lalu.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta maksimum 12 sebatan sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu berikutan beberapa laporan masih belum diperoleh, termasuk laporan bedah siasat, perubatan, pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom, serta laporan forensik dan patologi.

Mahkamah membenarkan permohonan terbabit dan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh. 

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mei ini.

Terdahulu, kemalangan maut yang melibatkan tiga kenderaan itu berlaku berhampiran persimpangan T Golden Hill di Gemas Baru sekitar jam 4 petang, kira-kira 200 meter dari kediaman mangsa.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang selepas melawat saudara di Batu Anam sebelum terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan ketiga-tiga penumpang.

Pemeriksaan dan saringan air kencing ke atas tertuduh mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. - Getaran, 7 April 2026