
SEGAMAT - Seorang pemandu treler yang sebelum ini didapati positif dadah sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan membunuh tiga sekeluarga di kilometer 212, Jalan Johor Bahru- Gemas pada Khamis lalu.
Tertuduh, Muhammad Syafiq Salleh, 28, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Amalina Johar.
**media[3484045]**
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa membunuh S Palamiandy, 77; K Myakrishnan; 72, dan S Sevendai, 62.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban pada jam 3.50 petang, 2 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Muhammad Ismail Tadj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
**media[3484036]**
Terdahulu pihak pendakwaan memberitahu mahkamah memohon satu tarikh baru memandangkan belum menerima laporan bedah siasat, laporan perubatan, laporan Puspakom, laporan forensik dan laporan patalogi.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan kes disebut semula pada 21 Mei ini.
Dalam kejadian pada jam 4 petang Khamis lalu, tiga sekeluarga maut dalam nahas ngeri membabitkan tiga kenderaan dekat Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru.
Suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine telah ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat lalu.
