Kemalangan Maut: Identiti 2 Mangsa Rentung Belum Dikenal Pasti - Polis

4 Oct 2025 • 8:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

GEORGE TOWN - Identiti dua individu yang rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbabas dan terbakar di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan, dekat sini pagi tadi masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, bedah siasat terhadap dua mayat mangsa sedang dijalankan di Hospital Kepala Batas, dekat sini petang tadi.

"Polis masih menunggu keputusan bedah siasat dan setakat ini kita belum tahu identiti kedua-dua mangsa, kereta yang dinaiki mereka juga belum dapat dikenal pasti (pemiliknya).

"Sama ada mangsa warga asing atau tempatan, kami tidak dapat mengesahkan perkara tersebut dan perlu menunggu keputusan bedah siasat serta laporan forensik," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Festival Seni Hidup 2025 di Lebuh Armenian, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.09 pagi dan menggerakkan sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth ke lokasi kejadian.

Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dengan anggaran kebakaran 80 peratus, dipercayai berpunca akibat kemalangan jalan raya. - BERNAMA