Nahas Tol Kajang : Tiada Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Antara Punca Bayi Tercampak Keluar

LocalFamily & Parenting
29 Sep 2025 • 5:15 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Pengangkutan mengesahkan ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) dikenal pasti sebagai antara punca kematian seorang bayi dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, kelmarin.

Menurut laporan Kosmo! Online, menterinya, Anthony Loke berkata berdasarkan hasil laporan polis dan siasatan awal mendapati mangsa tidak diletakkan dalam child seat ketika kejadian berlaku.

Akibatnya, bayi berkenaan tercampak keluar sebelum tersepit di dalam sebuah kenderaan lain selepas sebuah lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol terbabit.

Kerusi keselamatan kanak-kanak

image is not available

“Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.

“Tetapi jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Mengulas lanjut, Loke menegaskan beliau tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, sebaliknya menganggap insiden itu sebagai peringatan penting kepada semua pihak mengenai kepentingan penggunaan child seat demi keselamatan anak-anak.

Kerusi keselamatan kanak-kanak

image is not available

“Child seat adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.

“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” katanya.

Pada Sabtu lalu, seorang bayi lelaki maut manakala lapan individu lain cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.

Mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berjaya dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan.