hamden30/10/2026 - 11:41 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Syarikat perladangan Malaysia berpotensi meraih manfaat daripada harga minyak sawit mentah (MSM) lebih kukuh pada 2027 susulan keadaan kemarau yang dijangka semakin buruk di Indonesia sehinggamengetatkan bekalan minyak sawit serantau.
CIMB Securities berkata, prospek pengeluaran terbaharu Wilmar International Ltd mengukuhkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan akibat kemarau yang berpotensi berlanjutan sehingga tahun depan.
Wilmar, yang disenaraikan di Singapura, merupakan antara kumpulan perladangan kelapa sawit terbesar dunia dengan keluasan tanaman 234,334 hektar sehingga akhir 2025.
Daripada jumlah itu, kira-kira 66% kawasan tanaman kumpulan berkenaan terletak di Indonesia, manakala 25% lagi di Malaysia Timur.
Kumpulan agribisnes itu kini menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) di ladangnya di Indonesia merosot tahun ini, berbanding unjuran awal yang menjangkakan sedikit pertumbuhan.
Semakan itu dibuat susulan keadaan kemarau lebih buruk daripada jangkaan di Sumatera Selatan dan beberapa kawasan di Kalimantan.
CIMB Securities berkata, prospek pengeluaran minyak sawit Wilmar yang lebih lemah di Indonesia mengukuhkan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan akibat kemarau sehingga 2027, sekali gus menyokong prospek harga MSM yang lebih positif.
Menurut firma penyelidikan itu, bekalan lebih ketat berpotensi memberi manfaat kepada syarikat perladangan Malaysia yang mempunyai operasi di dalam negara.
Bagaimanapun, syarikat yang mempunyai pendedahan ketara kepada Indonesia juga mungkin berdepan hasil BTS lebih rendah tahun depan akibat keadaan cuaca yang tidak menggalakkan.
Susulan perkembangan itu, CIMB Securities mengekalkan penarafan 'Overweight' terhadap sektor perladangan, dengan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), SD Guthrie Bhd dan IOI Corporation Bhd sebagai antara pilihan utamanya.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan 'Beli' terhadap ketiga-tiga saham berkenaan, dengan harga sasaran masing-masing RM24.32 bagi KLK, RM6.52 bagi SD Guthrie dan RM5.03 bagi IOI Corporation.
Sementara itu MBSB Research dalam analisis awal terhadap keputusan sektor peladangan pada 3QFY26 menjangkakan harga MSM yang lebih tinggi akan membantu mengimbangi kesan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM yang lebih rendah.
Bagaimanapun firma itu menjangkakan prestasi pendapatan syarikat perladangan di bawah liputan mereka secara umumnya menepati jangkaan, disokong harga purata MSM industri sebanyak RM4,552 satu tan sepanjang suku berkenaan.
Harga itu meningkat 0.7% berbanding suku sebelumnya dan 6.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, margin segmen huluan dijangka terus berdepan tekanan berikutan harga baja yang walaupun semakin reda, masih berada lebih tinggi berbanding paras 3Q25.
Dalam masa sama, pemain segmen hiliran terus berdepan kos pengangkutan dan insurans yang tinggi susulan peningkatan ketegangan di Selat Hormuz. Bagaimanapun, margin segmen hiliran dijangka kekal stabil berikutan kenaikan harga isirung sawit (PK).
MBSB Research mengekalkan pendirian NEUTRAL terhadap sektor perladangan dengan andaian harga MSM CY26 tidak berubah pada RM4,400 satu tan. - DagangNews.com




