Kemarau: Kelantan sanggup ‘labur habis’ pastikan bekalan air tidak terputus

LocalEnvironment
6 Apr 2026 • 4:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Izani Husin

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sanggup membelanjakan peruntukan besar tanpa berkira soal kos bagi memastikan bekalan air kepada rakyat tidak terjejas susulan kemarau berpanjangan yang kini berada pada tahap membimbangkan.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, fokus utama ketika ini adalah mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (Non-Revenue Water - NRW) bagi memastikan bekalan sampai sepenuhnya kepada pengguna.

Menurut beliau, pelbagai langkah segera diambil termasuk pembaikan paip bocor serta mengenal pasti punca kehilangan air dalam sistem agihan.

"Untuk tahun 2026 ini, kita beri fokus kepada NRW. Kita akan kesan ke mana air ini hilang dan lakukan pembaikan segera terutama melibatkan paip bocor.

"Kita tidak berkira dari segi peruntukan. Berapa banyak pun kos diperlukan, kita akan baiki kerosakan demi memastikan air sampai kepada rakyat," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, beliau hadir bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ke lokasi kejadian yang melibatkan lapan buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut mempergiat penghantaran bekalan alternatif ke kawasan terjejas.

"Kawasan yang tidak ada air, kita gerakkan tangki statik secukupnya. Kita juga akan pastikan lori-lori air AKSB dihantar terutama ke kawasan yang benar-benar terdesak.

"Kalau perlu, kita sanggup ‘habis modal’ sementara waktu asalkan rakyat tidak terputus bekalan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Izani memaklumkan antara kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ gangguan bekalan air adalah sekitar Kuala Krai, manakala beberapa kawasan lain seperti Pasir Mas dan Pasir Pekan masih terkawal.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui musim kemarau kali ini lebih mencabar berikutan tempoh yang panjang serta memberi kesan ketara kepada sumber air mentah termasuk sungai dan telaga jejari.

"Kemarau kali ini pada tahap tinggi dan lama. Kita lihat rumput dan pokok kering, paras air sungai juga surut.

"Telaga jejari AKSB turut terkesan, begitu juga sumber air lain. Kita pun tidak pasti bila kemarau ini akan berakhir," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhemah dalam penggunaan air selain mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan keadaan.

"Penggunaan air perlu dijimatkan. Dalam musim panas ini biasanya penggunaan meningkat, tetapi kali ini kita kena kawal kerana bekalan semakin berkurang.

"Pada masa sama, elakkan pembakaran terbuka kerana api mudah merebak dalam keadaan cuaca kering," katanya.

Tegas beliau, kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah berjaga-jaga bagi memastikan krisis bekalan air akibat kemarau dapat ditangani sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.