AKSB pastikan tiada gangguan bekalan air berlaku di Aidilfitri

17 Mar 2026 • 3:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menggerakkan aset dan tenaga kerja bagi memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku sepanjang Aidilfitri ini.

KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menggerakkan aset dan tenaga kerja bagi memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku sepanjang Aidilfitri ini.

Jabatan Korporat AKSB dalam satu kenyataan berkata, pelan mitigasi yang dilaksanakan merangkumi penyediaan 11 lori tangki air milik syarikat bagi penghantaran bekalan ke kawasan terjejas atau terputus bekalan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 14 lori tangki air kontrak turut disediakan bagi tujuan sama, namun operasi penghantaran melibatkan lori kontrak dihadkan dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

"Sebanyak 544 tangki statik ditempatkan di kawasan penempatan terpilih bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan air. Senarai lokasi serta kapasiti tangki boleh dirujuk melalui laman web AKSB atau aplikasi MyAKSB," katanya.

Dalam pada itu, AKSB turut mengaktifkan talian AKSB Careline (PINTAS) di nombor 15777 bagi tempoh 19 hingga 23 Mac ini, dari jam 8 pagi hingga 10 malam, manakala pada hari pertama dan kedua Aidilfitri, talian beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Bagi memastikan sebarang gangguan dapat ditangani segera, sebanyak 14 pasukan pembaikan paip AKSB bersama 12 pasukan kontraktor digerakkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Setiap jajahan turut mempunyai satu pasukan utama diketuai pengurus jajahan dengan sokongan ketua operasi loji, penyelia penyelenggaraan dan agihan serta penyelia servis pengguna dan ALC," menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, AKSB memaklumkan pelan kesiapsiagaan tersebut melibatkan semua jajahan operasi dan telah digerakkan bermula 19 hingga 26 Mac ini bagi memaksimumkan keupayaan pembekalan air sepanjang musim perayaan.

Ketika ini, sebanyak 43 Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi di seluruh Kelantan bagi membekalkan air bersih kepada 269,338 akaun pengguna.

"Pengeluaran semasa adalah sebanyak 531 juta liter sehari (JLH), namun permintaan dijangka meningkat kepada 584 JLH sepanjang Aidilfitri, dengan waktu puncak penggunaan antara 20 hingga 23 Mac," katanya.