![Image from: [KEMAS KINI] Bapa sempat ‘video call’, minta anak-anak pulang sebelum meninggal](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/photo-output-25-1024x813.jpeg)
BATU PAHAT – Hasrat seorang anak untuk membawa ibu bapanya keluar makan hari ini tidak kesampaian apabila dua insan tersayang itu maut dalam nahas bersama dua cucu di Kilometer 107, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Yong Peng di sini semalam.
Lebih menyayat hati, Ab. Shukor Athan, 68, sempat membuat panggilan video menerusi kumpulan WhatsApp keluarga untuk memaklumkan mengenai kemalangan dan meminta anak-anaknya pulang.
Anak sulungnya, Mohd. Zaharuddin, 45, berkata, dia menerima panggilan kira-kira pukul 5 petang ketika bekerja sebagai tukang masak di Singapura.
Menurutnya, bapanya sempat memberitahu mengenai kemalangan tersebut sebelum memintanya dan adik-beradik yang lain pulang.
Bagaimanapun, suara warga emas itu tidak kedengaran dengan jelas menerusi panggilan video tersebut.
“Semasa panggilan (video) itu, ayah minta anak-anak balik. Selepas itu, telefon seperti terjatuh sebelum seorang wanita bercakap dan meminta kami bersabar.
“Wanita itu memberitahu terdapat kematian dalam kemalangan tersebut. Ketika itu, ayah masih ada (bernyawa). Saya segera pulang ke Johor Bahru selepas selesai kerja,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini hari ini.
Zaharuddin berkata, dia tidak menyangka panggilan video itu menjadi antara detik terakhirnya berhubung bersama bapa tersayang.
Katanya, kali terakhir dia bertemu ibu bapanya kira-kira dua hingga tiga minggu lalu. Jarak yang memisahkan mereka menyebabkan peluang untuk berkumpul bersama tidak selalu ada.
Lebih memilukan, semalam sepatutnya giliran Zaharuddin membawa ibu bapanya tinggal bersama keluarganya di Ulu Tiram, Johor Bahru.
“Saya rancang nak bawa emak dan ayah keluar makan hari ini, tetapi tak sempat. Allah terlebih dahulu menjemput mereka. Ralat juga, tetapi kami reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Dalam kemalangan itu, Ab. Shukor dan isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta cucu mereka, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi cucu pasangan itu, Muhammad Zaharil Hakimie Jumie yang berusia setahun disahkan meninggal dunia ketika menerima dirawat di Klinik Kesihatan Parit Yaani, Yong Peng.-KOSMO! ONLINE
The post [KEMAS KINI] Bapa sempat ‘video call’, minta anak-anak pulang sebelum meninggal appeared first on Kosmo Online.





