‘Lama tak nampak maksu, semalam dia pergi buat selama-lamanya’

13 Oct 2026 • 8:09 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Lama tak nampak maksu, semalam dia pergi buat selama-lamanya’

TELUK BAHANG – “Hampir dua minggu kami tak nampak maksu keluar dari rumah. Semalam (kelmarin) dapat tahu yang dia sudah pergi buat selama-lamanya”.

Demikian luahan anak saudara kepada Azriyah Che Lah, 55, yang maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 286.5, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan di Ipoh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, motosikal jenis Honda ADV160 yang ditunggang suami mangsa, Rosman Omar, 55, terlibat kemalangan dengan kereta jenis Proton Gen2 dan Lexus. Bagaimanapun, Rosman dilaporkan mengalami kecederaan.

Anak saudaranya, Afzainizam Abdullah, 48, berkata, pasangan suami isteri berkenaan sememangnya gemar menunggang motosikal terutama pada hujung minggu.

Menurutnya, berita mengenai kemalangan itu diterima menerusi kumpulan WhatsApp keluarga, kira-kira pukul 12.40 tengah hari kelmarin.

“Arwah maksu baru sahaja bersara dari sebuah hotel di Batu Ferringhi pada awal tahun ini. Memang tak sangka (kematian Azriyah) dan kami saudara-mara masih terkejut dengan berita kejadian berlaku.

“Pasangan suami isteri ini (arwah dan suaminya) memang gemar ‘ride’ berdua pada hujung minggu. Kejadian berlaku ketika mereka dikatakan dalam perjalanan ke Cameron Highland di Pahang, semalam (kelmarin).

“Saya tak tunggu lama dan terus bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejurus menerima perkhabaran itu. Memang kami agak terasa akan kehilangan maksu,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Beritahunya lagi, kehilangan arwah begitu dirasai memandangkan hampir dua minggu dia tidak bertemu dengan wanita itu meskipun lokasi kediaman mereka di Teluk Bahang cuma terletak bersebelahan.

“Walaupun kami tinggal selang sebuah rumah tapi dalam masa seminggu dua ini memang saya tak jumpa dengannya (arwah).

“Sebelum ini, kami hari-hari nampak dia menyapu sampah di luar rumah, memasak dan ada kalanya berselisih dengan motorsikal atau dia akan datang ke rumah saya serta bapa saudara. Semua tertanya, mana maksu…,” ujarnya lagi.

Mengimbas mengenai peribadi arwah, Afzainizam berkata, Azriyah seorang yang periang, prihatin dan ringan tulang, selain disenangi ahli keluarga serta penduduk kampung.

“Kalau ada kenduri-kendara, dia antara insan yang rajin membantu. Dia juga sangat baik dengan anak-anak saudara dan sentiasa mengambil berat tentang keluarga,” katanya jenazah Azriyah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Bahang kira-kira pukul 12 tengah malam hari sama.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati Proton Gen2 yang mengalami kerosakan berhenti di lorong kecemasan sebelum motosikal dinaiki pasangan berusia 55 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta berkenaan.

Akibat kemalangan itu, pembonceng dan penunggang motosikal cedera sebelum wanita terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas paramedik. – KOSMO! ONLINE

 

The post ‘Lama tak nampak maksu, semalam dia pergi buat selama-lamanya’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved