![Image from: [KEMAS KINI] Budak lemas: Mangsa keluar memancing sendirian](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-05-at-10.11.36-AM-1024x537.jpeg)
KULAI – Hasrat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun untuk pergi memancing berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas di sebuah kolam tadahan berhampiran Taman Sungai Mas di sini pagi semalam.
Lebih menyedihkan, mangsa, Essikandar Putra Rohaizad dipercayai keluar bersendirian dari rumah tanpa disedari kakaknya yang berusia 17 tahun ketika kedua-duanya ditinggalkan di rumah oleh ibu bapa mereka yang keluar bekerja.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, ibu bapa mangsa meninggalkan rumah kira-kira pukul 6.30 pagi ketika kanak-kanak itu masih tidur bersama kakaknya.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi, ibu mangsa menerima berita daripada seorang kenalannya bahawa anaknya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kolam tadahan berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kediaman mangsa terletak kira-kira 50 meter dari kolam tadahan itu.
“Mangsa dipercayai pergi bersendirian ke kolam berkenaan untuk memancing berdasarkan penemuan sebatang joran di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dibawa naik oleh anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kulai pada pukul 11.15 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tan Seng Lee berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat lemas.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-KOSMO! ONLINE
The post [KEMAS KINI] Budak lemas: Mangsa keluar memancing sendirian appeared first on Kosmo Online.






