
KUALA LUMPUR - Seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan semalam kerana disyaki memiliki dadah, direman selama tiga hari sehingga esok.
Perkara berkenaan disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ya, saya boleh mengesahkan penahanan tersebut dan kes ini sedang dalam siasatan,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataannya mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya tersebut yang baru melaporkan diri untuk bertugas pada minggu lalu, ditahan polis berkaitan kes dadah.
Menurut SPRM, pegawai itu ditahan oleh polis di rumahnya pada 23 September lalu.
Pemeriksaan yang dijalankan polis, kata SPRM turut menemui bahan terlarang disyaki dadah.
“SPRM mengambil maklum berhubung tangkapan melibatkan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang baharu melaporkan diri pada minggu lalu untuk bertugas di Suruhanjaya ini.
“SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya,’’ katanya hari ini.
SPRM juga menegaskan ia tidak akan akan berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan.
“SPRM komited untuk memastikan integriti serta tata kelola organisasi sentiasa dipelihara,’’ katanya. - 24 September, 2025.
The post [KEMAS KINI] Timbalan Pendakwa Raya SPRM direman tiga hari, disyaki miliki dadah appeared first on Scoop.
