Kemaskini MyKad Dan Implimentasi Aplikasi MyNIISe Akan Diperkenalkan Bermula Bulan Jun Ini

LocalTechnology
4 May 2026 • 5:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada awal tahun ini, kami ada melaporkan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri akan memperkenalkan MyKad dan pasport dengan rekaan dan ciri-ciri keselamatan tambahan baharu pada pertengahan tahun ini.

Dalam laporan Bernama terbaru, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa pihak kerajaan sedang bersiap-sedia untuk memperkenalkan kad pengenalan MyKad dengan rekaan dan ciri-ciri baru ini bermula bulan Jun 2026 ini, manakala implimentasi aplikasi National Integrated Immigration System (MyNIISe) akan diperkenalkan pada bulan September 2026.

Image from: Kemaskini MyKad Dan Implimentasi Aplikasi MyNIISe Akan Diperkenalkan Bermula Bulan Jun Ini

Datuk Seri Saifuddin Nasution mengatakan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Negara sudah bersedia untuk mengimplimentasi kedua-dua sistem ini, dan jabatan tersebut mempunyai beberapa pelan untuk memastikan kemaskini terbaru untuk kad pengenalan dan pasport boleh dilakukan secara lancar, mengetatkan keselamatan identiti rakyat dengan lebih baik lagi.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Imigresen Negara sudahpun mula menguji penggunaan MyNIISe secara meluas dan ia disahkan bahawa aplikasi tersebut akan menggantikan aplikasi imigresen MyBorderPass secara rasmi pada bulan September ini.

Image from: Kemaskini MyKad Dan Implimentasi Aplikasi MyNIISe Akan Diperkenalkan Bermula Bulan Jun Ini

Pengenalan aplikasi baru ini adalah sebahabian daripada penaiktarafan sistem imigresen Malaysia, yang mana MyNIISe akan menggantikan sistem Malaysian Immigration Integrated Management System (MyIMMs) yang digunakan selama 20 tahun sebelum ini.

Aplikasi MyNIISe bukan sahaja akan memperlihatkan butiran kad pengenalan dan pasport, tetapi juga akan diintegrasi dengan fungsi kod QR MyBorderPass yang membolehkan rakyat Malaysia untuk melepasi dan memasuki gerbang imigresen Malaysia secara lebih cepat.

Image from: Kemaskini MyKad Dan Implimentasi Aplikasi MyNIISe Akan Diperkenalkan Bermula Bulan Jun Ini

Aplikasi MyNIISe sudahpun diperkenalkan untuk peranti pintar pada platform Android dan iOS, tetapi apabila bulan September tiba kelak, jangkaannya ialah aplikasi MyBorderPass akan digantikan oleh MyNIISe sepenuhnya.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, jika anda mempunyai kad pengenalan yang hadir dengan cip pintar terbina, anda juga boleh menggunakan kad pengenalan tersebut seperti biasa tanpa masalah.