
Siri cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake telah dilancarkan, dan dilihat tampil dengan prestasi yang cukup mengagumkan tidak kira anda menggunakan komputer desktop ataupun komputer riba.
Akan tetapi, ia telah dilaporkan bahawa kemaskini perisian GPU untuk siri cip pemprosesan tersebut telah menyebabkan pelayar web seperti Microsoft Edge dan juga Google Chrome untuk menjadi lebih perlahan daripada biasa.

Seperti contoh, selepas kemaskini baru ini dipasang, ia diperlihatkan bahawa masa tindak-balas kepada satu ketik pautan hanya akan diperlihatkan selepas dua saat, memperlihatkan seperti pelayar web itu menghadapi masalah kaku (frozen) untuk seketika.
Intel mengatakan bahawa masalah ini lebih mudah dilihat pada pelayar web yang mempunyai banyak tab terbuka, ataupun sekiranya komputer tersebut menggunakan cakera keras dan bukan SSD sebagai storan pilihan, khususnya untuk sistem operasi.
Intel mencadangkan pengguna untuk mengemaskini pelayar web, sistem operasi, dan juga untuk tidak menggunakan fungsi hardware acceleration untuk pelayar web untuk memperbaiki isu tersebut buat masa ini.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Intel akan memperbaiki isu ini untuk para pengguna komputer yang menggunakan cip Alder Lake tersebut.
