Kemaskini Windows 11 Terbaru Menyebabkan Storan Hilang Apabila Melakukan Pemindahan Data Besar

TechnologyDigital
19 Aug 2025 • 12:24 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda menggunakan komputer dengan sistem operasi Windows 11 dan sering melakukan pemindahan data secara besar-besaran, anda dinasihatkan untuk menunda dahulu kemaskini tersebut. Baru-baru ini, ia dilaporkan bahawa kemaskini sistem operasi terbaru Windows 11 kemaskini KB5063878 telah menyebabkan isu serius dimana penyenaraian storan akan hilang apabila pemindahan data bersaiz besar dilakukan.

Perkara ini ditemui oleh pengguna X Nekorusuki yang mengatakan bahawa penyenaraian storan SSD beliau telah terpadam sewaktu pemindahan data permainan Cyberpunk 2077. Beliau telah menggunakan pelbagai storan SSD lain untuk melihat samada storan beliau bermasalah atau tidak, tetapi telah mendapati bahawa sejumlah besar storan SSD lain yang dimilikinya juga menghadapi masalah yang sama.

Walaupun menghidupkan semula komputer akan menyenaraikan semula storan SSD tersebut, isu berkaitan pemindahan data bersaiz besar tersebut masih lagi berlaku.

Satu laporan daripada NichePCGamer pula nampaknya telah mengenalpasti masalah yang menyebabkan perkara ini berlaku. Menurut laporan mereka, dalang disebalik masalah ini ialah kemaskini sistem operasi Windows 11 yang terbaru, iaitu KB5063878 yang diperkenalkan oleh Microsoft pada 12 Ogos 2025.

Beberapa pemilik SSD lain, seperti seorang individu yang menggunakan SSD SanDisk Extreme Pro M.2 NVME 3D SSD mengatakan bahawa mereka menghadapi isu yang sama, cuma dengan kemaskini Windows 11 sebelumnya, iaitu KB5062660 yang diperkenalkan pada 22 Julai 2025.

image is not available

Nekorusuki juga telah menyenaraikan storan SSD yang terkesan dengan isu ini, dan menasihati pengguna untuk tunggu sehingga Microsoft dan juga pengeluar storan mengeluarkan pengumuman berkenaan isu ini.