Kemaskini sistem operasi Windows 11 telah ditetapkan dimana pengguna hanya boleh menundanya untuk beberapa minggu sebelum komputer anda akan dipaksa untuk mengemaskininya secara automatik.
Terkini, ia dilaporkan bahawa perkara yang sama akan dilakukan untuk perisian yang dimuat-turun melalui Microsoft Store. Ia telah dilaporkan bahawa Microsoft telahpun memperkenalkan kemaskini baru untuk Microsoft Store yang akan memastikan bahawa perisian yang dimuat-turun melalui gedung tersebut akan dikemaskini secara automatik paling lewat selepas kemaskini tersebut diperkenalkan.
Pengguna akan diberikan pilihan untuk menunda kemaskini tersebut setiap minggu, tetapi selepas minggu kelima, perisian-perisian ini akan dikemaskini ke versi terkini tidak kira pengguna membenarkannya ataupun tidak.

Untuk Microsoft, lima minggu dilihat sebagai masa yang mencukupi untuk memastikan bahawa pihak pembangun perisian untuk memastikan bahawa kemaskini yang ditawarkan adalah stabil dan benar-benar membantu dalam memperbaiki prestasi perisian, dan tidak akan memberikan sebarang kesan sampingan kepada penggunaan komputer pengguna.
Kemaskini Microsoft Store ini nampaknya sedang diperkenalkan secara perlahan kepada pengguna-pengguna sistem operasi Windows 10 dan Windows 11, tetapi apabila ia tiba, pilihan pertama untuk menunda kemaskini perisian akan hadir dengan menu pilihan satu ke lima minggu apabila anda memilih untuk menyahaktifkannya.
Perlu juga diingatkan bahawa “paksaan” kemaskini ini hanya khusus untuk perisian yang dimuat-turun melalui platform Microsoft Store. Jika anda tidak mahu terikat dengan kitaran kemaskini ini, saranan kami ialah untuk memuat-turun perisian-perisian lazim anda secara terus melalui laman web rasmi perisian, dan tidak menggunakan perkhidmatan Microsoft Store.


