Kemasukan pelantar asing ke Asia Tenggara jejas pemulihan kadar sewaan Velesto, kata TA Research

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 12:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kemasukan pelantar asing ke Asia Tenggara jejas pemulihan kadar sewaan Velesto, kata TA Research Image from: Kemasukan pelantar asing ke Asia Tenggara jejas pemulihan kadar sewaan Velesto, kata TA Research hamden22/10/2026 - 12:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt - Kemasukan pelantar penggerudian asing ke Asia Tenggara dijangka terus mengekang pemulihan kadar sewaan harian Velesto Energy Berhad (Velesto), meskipun permintaan terhadap pelantar jenis jack-up (JU) menunjukkan peningkatan, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan tekanan persaingan itu berterusan sehingga separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27), sekali gus mendorong semakan lebih konservatif terhadap unjuran pendapatan kumpulan bagi FY27 hingga FY28.

 

Menurut sumber industri, kontraktor pelantar JU dari luar Asia Tenggara sedang mencari peluang pekerjaan di rantau ini susulan ketidaktentuan berterusan di Timur Tengah.

 

"Kemasukan pelantar asing itu berpotensi mengehadkan kuasa penetapan harga dalam kalangan pengendali pelantar di rantau ini, sekali gus memperlahankan pemulihan kadar sewaan harian (DCR) walaupun aktiviti penggerudian semakin meningkat.

 

"Kontrak baharu yang diberikan dalam tempoh berkenaan berkemungkinan mencerminkan kadar pasaran semasa sekitar AS$90,000 hingga AS$100,000 sehari," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Unjuran kontrak baharu disemak

Sebelum ini, TA Research menjangkakan Velesto memperoleh kontrak baharu pada kadar sedikit lebih tinggi daripada paras pasaran. 

 

Bagaimanapun, andaian itu kini disemak secara konservatif sementara menunggu bukti lebih jelas mengenai pengetatan pasaran yang berterusan.

 

Sementara itu TA Research berkata, semua pelantar JU syarikat itu telah memperoleh kontrak sehingga akhir FY26, menjadikan NAGA 3 satu-satunya pelantar yang masih tersedia. 

 

"Pelantar itu kini berada dalam keadaan *warm-stacked* di Johor, iaitu tidak beroperasi tetapi dikekalkan dalam keadaan bersedia untuk diaktifkan semula.

 

Berdasarkan jadual pelantar terkini, NAGA 3 berpotensi memperoleh kontrak jangka pendek selama kira-kira dua bulan.

 

Dividen dan penilaian saham

Sementara itu, penganalisis menjangkakan Velesto mengekalkan dasar dividen berasaskan aliran tunai, dengan pembayaran ditentukan oleh penjanaan aliran tunai bebas dan bukannya keuntungan selepas cukai yang dilaporkan.

 

Berikutan prospek aliran tunai yang lebih lemah, andaian dividen sesaham (DPS) FY26 dikurangkan kepada 2.0 sen daripada 3.0 sen sebelum ini.

 

Bagaimanapun, terdapat potensi dividen tambahan sebanyak 2.0 sen sesaham, disokong lebihan tunai tersedia berjumlah RM265.8 juta pada akhir Jun 2026.

 

Susulan semakan unjuran pendapatan, penganalisis menurunkan harga sasaran Velesto kepada RM0.25 sesaham daripada RM0.36 sesaham sebelum ini, berdasarkan 15 kali pendapatan sesaham tahun kalendar 2027 serta mengambil kira premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%.

 

Walaupun berdepan tekanan persaingan terhadap kadar sewaan, penganalisis mengekalkan saranan BELI terhadap saham Velesto. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved