liza22/10/2026 - 11:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – China Huashi memperluas perniagaan dalam sektor pusat data di Asia Tenggara selepas menyiapkan pembinaan Pusat Data Falcon di Johor, menerusi anak syarikatnya, Huashi (Malaysia) Sdn Bhd.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata Pusat Data Falcon itu mencerminkan kemajuan Johor dalam pembangunan infrastruktur digital serta keyakinan pelabur terhadap persekitaran pelaburan negeri itu.
“Perkembangan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan transformasi digital meningkatkan kepentingan infrastruktur digital sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serantau.
“Kerajaan negeri mahu memastikan pelaburan dalam sektor itu turut memberi manfaat kepada ekonomi tempatan menerusi peluang kepada syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Pengurus Besar Ibu Pejabat Serantau Asia Pasifik China Huashi, Wu Qingchao berkata syarikat itu memanfaatkan kepakaran dalam kejuruteraan, pembinaan, pemasangan mekanikal dan elektrikal serta pengurusan projek untuk mengembangkan perniagaan pusat datanya.
Beliau berkata, China Huashi komited membangunkan infrastruktur digital yang mematuhi peraturan tempatan, dengan mengutamakan keselamatan, kemampanan dan kecekapan operasi.
Lebih 30 projek dilaksanakan di Malaysia
Ditubuhkan pada Jun 2014, Huashi Malaysia merupakan anak syarikat milik penuh China Huashi Enterprises Co Ltd yang menjalankan aktiviti pembinaan bangunan, kejuruteraan perbandaran, jalan raya, jambatan, struktur keluli dan kemudahan perindustrian.
Sepanjang lebih sedekad beroperasi di Malaysia, syarikat itu telah melaksanakan lebih 30 projek kejuruteraan dan pembinaan di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor. Ia juga memiliki pendaftaran kontraktor G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), iaitu gred tertinggi bagi kontraktor di Malaysia.
China Huashi kini mempunyai lebih 200 tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan pengurusan di peringkat serantau, dengan Malaysia menjadi pangkalan utama bagi pengembangan perniagaannya ke Thailand, Indonesia dan Singapura.
Peralihan kepada sektor pusat data merupakan sebahagian daripada usaha syarikat itu memperluas skop perniagaan daripada pembinaan konvensional kepada infrastruktur digital yang berkaitan dengan keperluan ekonomi serantau.
China Huashi berkata, Malaysia akan terus menjadi pasaran utama bagi pertumbuhan serantaunya, dengan syarikat itu berusaha memperluas kerjasama dengan rakan tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan infrastruktur digital di Malaysia serta Asia Tenggara. - DagangNews.com



