Kematian Irene Sofiya Akibat Hentakan Objek Tumpul Pada Kepala - Polis

5 Oct 2026 • 5:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kematian Irene Sofiya Akibat Hentakan Objek Tumpul Pada Kepala - Polis

KUALA LUMPUR — Pelajar berusia 16 tahun, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu, disahkan maut kerana kecederaan pada kepala, akibat hentakan objek tumpul.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, punca kematian itu dikenal pasti hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian pelajar berkenaan dan memberi jaminan bahawa tiada fakta akan disembunyikan daripada pengetahuan awam.

“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang unsur ‘menutup kes’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya.

Menurutnya, siasatan setakat ini berjalan lancar dengan kerjasama penuh pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan.

Terdahulu, polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun pada 3 Oktober lalu, iaitu pada hari Irene Sofiya ditemukan tidak bernyawa.

Suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 9 Oktober selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonan reman polis.

Kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kumar turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan keresahan awam,” katanya.

Irene Sofiya, pelajar Tingkatan Empat, ditemukan meninggal dunia oleh neneknya di sekolah berkenaan, yang pergi mencari gadis malang itu apabila mangsa tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang selepas menghadiri kelas tambahan.

Kes berkenaan mendapat perhatian meluas orang ramai, membuatkan polis dan Kementerian Pendidikan menggesa masyarakat supaya tidak menyebarkan dakwaan yang belum disahkan sepanjang siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, di Batu Pahat, rakan sekelas Irene Sofiya menafikan dakwaan mangsa mempunyai hubungan romantik dengan pelajar lelaki berusia 16 tahun yang kini direman sebagai suspek utama.

Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, Irene Sofiya dan suspek merupakan rakan sekelas, namun mereka jarang dilihat bersama di sekolah.

“Sepanjang kami bersekolah, tiada petunjuk bahawa mereka bercinta atau mempunyai perasaan antara satu sama lain. Masing-masing mempunyai rakan rapat sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, pelajar itu berkata, mereka tidak dapat menolak kemungkinan salah seorang daripada mereka mungkin mempunyai perasaan terhadap satu sama lain secara peribadi.

“Saya tidak tahu sama ada salah seorang daripada mereka mempunyai perasaan terhadap yang lain. Tetapi di sekolah, memang tiada anggapan bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa atau bercinta,” katanya.

Seorang lagi pelajar turut menafikan dakwaan berkenaan dan berkata, Irene Sofiya serta suspek masing-masing mempunyai kelompok rakan sendiri.

“Saya tidak tahu mereka pernah bercinta kerana saya rasa mereka mempunyai rakan masing-masing. Walaupun saya tidak sekelas dengan mereka, kami agak rapat dan sering bertegur sapa serta bertanya khabar di sekolah.

“Apa yang saya tahu, Irene seorang pelajar yang baik dan turut menjadi calon untuk menerima anugerah pelajar. Kami sedih melihat dakwaan yang tersebar di media sosial kerana walaupun kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku ketika kejadian, kedua-duanya merupakan pelajar yang baik,” katanya.

Irene Sofiya ditemukan meninggal dunia di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Sabtu lalu. 

Kes itu kini disiasat sebagai kes bunuh. - Getaran, 5 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved