KUALA LUMPUR - Kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah di Yong Peng, Johor, tempat pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, meninggal dunia, tidak dipasang di lokasi yang dipercayai menjadi tempat kejadian.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, susulan perkara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera bagi menambah baik sistem pemantauan keselamatan di sekolah berkenaan.
“Sekolah itu memang mempunyai CCTV, tetapi kamera tidak dipasang di lokasi khusus tempat kejadian berlaku.
“Oleh itu, kita sedang membuat penambahbaikan dan mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina menggesa sekolah yang mempunyai sistem CCTV rosak atau tidak berfungsi supaya segera memaklumkan perkara berkenaan kepada KPM.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sistem CCTV di sekolah dapat berfungsi dengan baik serta merakam kejadian yang berlaku di kawasan terbabit.
“Maklumkan kepada kita supaya kita boleh bekerjasama untuk menambah baik dan menangani fungsi CCTV, memastikan sistem itu dapat merakam serta merekod kejadian dalam kawasan sekolah dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa Irene Sofiya diseret dari surau ke lokasi kejadian.
Beliau turut menafikan dakwaan mengenai cermin pecah di surau yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
“Jadi, semua itu tidak benar. Saya menyeru semua pihak supaya berhati-hati sebelum berkongsi maklumat.
“Kita bercakap mengenai seorang anak yang telah meninggal dunia, keluarga yang sedang berduka dan beberapa pelajar bawah umur yang kini melalui proses siasatan.
“Justeru, jangan kita menambah kesakitan dengan spekulasi,” katanya. - Getaran, 5 Oktober 2026




