.jpg)
KUALA LUMPUR - Polis Selangor menolak unsur khianat dalam kematian seorang pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Shah Alam, semalam.
Ia sebaliknya disifatkan sebagai satu kemalaangan berdasarkan hasil siasatan forensik yang telah dijalankan.
Ketua Polis Selangor, Dauk Shazeli Kahar berkata, pihak penyiasat tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan unsur jenayah dalam kematian Asisten Supritendan Mohd Firdaus Safuan Abdul Rasib.
“Tiada unsur jenayah. Setakat ini, kami percaya kematian ini adalah kemalangan,” katanya.
Beliau memaklumkan, proses bedah siasat telah selesai dan jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kuantan, Pahang.
“Itu sahaja yang boleh saya perkatakan mengenai kejadian ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.
Pegawai berkenaan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dilaporkan meninggal dunia pagi semalam, selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kondominium di Seksyen 14, Shah Alam.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.
Shazeli turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan dakwaan tidak sahih atau spekulasi berunsur fitnah berkaitan kes ini.
Beliau memberi amaran, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu.
Kematian pegawai kanan itu sebelum ini menerima perhatian meluas, dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam pelbagai platform media sosial, termasuk yang berunsur negatif. - Getaran, 21 Mei 2026
