Kematian Pekerja UPSI Disahkan Akibat Serangan Jantung, Tiada Unsur Jenayah

7 Apr 2026 • 5:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kematian seorang pekerja pembersihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi disahkan tidak memiliki sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Khalid Mohamad berkata, pekerja berusia 53 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurut beliau, siasatan awal tidak menemui sebarang tanda aktiviti jenayah atau kecederaan mencurigakan.

“Kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut,” katanya.

Mangsa, yang dikenali sebagai Mohd Radzi Ariffin, terdahulu ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bilik utiliti yang berkunci di arena boling UPSI awal pagi tadi.

Jelas Khalid, keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah serangan jantung mengejut.

Mengulas lanjut beliau berkata, polis menerima makluman melalui sistem kecemasan NG999 sekitar jam 1.57 pagi, yang menyebabkan pegawai bergegas ke lokasi. 

Pada masa sama katanya, petugas Kementerian Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah berada di tempat kejadian.

“Kakitangan perubatan telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira 15 minit sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.23 pagi,” katanya.

Khalid turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menghormati privasi keluarga mangsa.

Dalam kenyataan berasingan, UPSI menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berkata, pihak universiti akan membantu dalam urusan pengebumian selepas prosedur bedah siasat selesai.

“Allahyarham merupakan pekerja sebuah syarikat swasta yang beroperasi di fasiliti boling universiti,” kata kenyataan itu.

Selepas bedah siasat, jenazah dibawa ke Masjid Al-Mursyidin di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Bernam. - Getaran, 7 April 2026