TANJUNG MALIM – Siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan dalam kejadian seorang pekerja pembersihan ditemui meninggal dunia di Arena Bowling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah terlibat.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat serangan jantung secara tiba-tiba (sudden cardiac arrest).
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa, Mohd Radzi Ariffin, 53, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik utiliti pusat berkenaan yang berkunci.
**media[3484423]**
Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui sistem NG999 kira-kira jam 1.57 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi dan mendapati pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berada di tempat kejadian.
“Petugas perubatan telah memberikan bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira 15 minit sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.23 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Slim River untuk tujuan bedah siasat.
Menurut Khalid, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.
Sementara itu, UPSI dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan akan membantu waris dalam urusan pengurusan jenazah selepas proses bedah siasat selesai.
“Allahyarham merupakan pekerja sebuah syarikat swasta yang beroperasi di arena boling universiti ini,” menurut kenyataan itu.
Selesai proses bedah siasat, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Bernam.


