
Kematian Tangmo: Pemandu Dan Pemilik Bot Dijatuhi Hukuman Penjara
BANGKOK — Mahkamah tempatan di Nonthaburi semalam dilaporkan telah menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua lelaki berhubung kes kematian selebriti Thailand, Tangmo Nida, lapor The Thaiger.
Difahamkan, pemilik bot laju dan pengemudi bot didapati bersalah menyebabkan kematian selebriti terbabit.
Hukuman Diringankan
Susulan itu, mahkamah telah menjatuhi hukuman penjara lima tahun, lapan bulan, dan denda 128,000 baht (lebih RM16,000) terhadap pemilik bot laju berkenaan.
Bagaimanapun, hukuman penjara tersebut dikurangkan kepada dua tahun sembilan bulan dan denda 64,000 baht (lebih RM8,400). Tambahan lagi, hukuman berkenaan akan ditangguhkan tiga tahun selepas tertuduh melakukan khidmat komuniti.
Manakala seorang lagi defenden dijatuhi hukuman penjara empat tahun empat bulan dan denda 18,000 baht (lebih RM2,300).
Tertuduh turut menerima pengurangan hukuman kepada dua tahun dua bulan, dengan hukuman digantung tiga tahun dengan denda 5,400 baht (lebih RM700).
BACA JUGA: “Saya Dalam Perjalanan Pulang..”, Pelik, Tangmo Buat ‘Live’ Mahu Buktikan Kebenaran Sebenar?
Tertuduh juga perlu melaporkan diri kepada mahkamah dan melakukan khidmat masyarakat.
Selain kedua-dua lelaki tersebut, empat lagi tertuduh terlibat dalam menyebabkan kematian Tangmo termasuk pengurus Tangmo.
Kematian Tangmo Nida
Terdahulu, Pattharathida Patcharaweerapong atau lebih dikenali sebagai Tangmo Nida, 37 dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh di Sungai Chao Phraya sewaktu menaiki bot laju berhampiran jeti Pibul 1 di daerah Muang, Nonthaburi pada malam 24 Februari tahun lepas.
Mayatnya kemudiannya ditemui dua hari selepas kejadian.
Pada 2 Mac lalu, kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian. Tambahan lagi, pemandu bot itu juga mengaku bersalah mengendalikan bot berkenaan tanpa sebarang lesen yang sah.
Kematian aktress Thailand yang semakin menempa nama itu nyata mendapat pelbagai liputan media tempatan dan antarabangsa. Tambahan lagi timbul pelbagai kontroversi berhubung kematiannya.
Sebelum ini, pihak polis membuat kesimpulan bahawa kematian mangsa bukanlah kerana dibunuh sebaliknya kecuaian rakan-rakannya, lapor The Thaiger.
Difahamkan, lima rakannya dan seorang lelaki yang dipercayai melatih mereka telah didakwa dengan pelbagai kesalahan termasuk kecuaian yang membawa kematian.
Mereka juga menghadapi pertuduhan kerana berbohong kepada pihak polis serta menyembunyikan bukti.
Sumber: The Bangkok Post, The Thaiger
The post Kematian Tangmo: Pemandu Dan Pemilik Bot Dijatuhi Hukuman Penjara appeared first on Siakap Keli.

