Kematian Yang Dicemburui, Pesara Tentera Meninggal Dunia Ketika Sujud Solat Subuh Berjemaah

6 May 2026 • 11:02 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kematian Yang Dicemburui, Pesara Tentera Meninggal Dunia Ketika Sujud Solat Subuh Berjemaah

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kematian khusnul khatimah merupakan impian setiap umat Islam, pastinya kita mahu meninggal dunia dalam keadaan diri sedang beribadah serta mengagungkan Allah SWT.

Bahkan ia merupakan antara kematian yang dicemburui oleh orang ramai.

Tular jemaah meninggal dunia ketika sedang sujud semasa tunai solat subuh

Baru-baru ini tular satu video di media sosial seorang jemaah di Masjid As-Syakirin Mukim Kelewek, Tanah Merah, Kelantan yang meninggal dunia sewaktu sedang solat berjemaah solat Subuh.

Menerusi video tular, awalnya kelihatan Allahyarham Razmi Mohd Nor yang berusia 66 tahun berada di saf hadapan bersama jemaah lain.

Sewaktu Imam mula sujud pada rakaat pertama kelihatan lelaki warga emas yang juga pesara tentera itu turut sujud sebelum tiba-tiba rebah tanpa sempat meneruskan sujud kedua.

Dibantu beberapa jemaah lain sebaik arwah disedari rebah

Memetik laporan Berita Harian, insiden itu berlaku sekitar jam 6.09 pagi dan sewaktu rebah arwah dibantu beberapa jemaah lain.

Jelas wakil masjid itu, Mohd Al-Muntaqim Noor, warga emas itu merupakan jemaah tetap serta sentiasa hadir ke masjid tersebut untuk menunaikan solat berjemaah di situ.

“Dalam kejadian subuh tadi, jemaah sedang menunaikan solat sebelum menyedari arwah tidak bangun dari sujud untuk meneruskan rakaat kedua.

“Ketika masih dalam posisi sujud, arwah tiba-tiba rebah menyebabkan tiga jemaah berdekatan segera membatalkan solat masing-masing untuk memberikan bantuan dan memeriksa keadaan arwah.

“Arwah kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang hadir,” ujarnya.

Terima khabar bapa meninggal dunia menerusi panggilan

Anak kepada arwah, Mohd Alif Razmi berusia 27 tahun memaklumkan dia mengetahui berita mengenai kematian bapanya daripada ahli keluarga melalui panggilan telefon.

Sejurus mendapat perkabaran tersebut Alif kemudian segera pulang dari Selangor ke Kelantan.

Anak sifatkan pesara tentera seorang yang dermawan

Katanya bapanya itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang serius melainkan menghidap angin pasang, selain turut pernah diserang strok ringan pada dua tahun yang lalu.

“Kematian ayah memang agak mengejutkan tetapi pada masa sama, sangat bersyukur kerana pemergiannya dalam keadaan ‘cantik’, iaitu ketika solat.

“Saya pun tidak tahu apa amalan ayah sehingga Allah memilihnya pergi dalam keadaan sebegitu. Apa saya tahu ialah arwah adalah seorang yang dermawan.

“Ayah memang tidak kedekut dan sering membayarkan makan minum sesiapa saja ketika berada di kedai kopi, selain sentiasa solat berjemaah memandangkan jarak rumah hanya kurang 300 meter dari masjid.”

Jenazah kemudiannya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelewek sekitar jam 2.30 petang, semalam (5 Mei).

View Original Article