
Selain kesedapan menu yang dihidangkan, kebersihan sesebuah restoran juga menjadi antara faktor utama yang perlu diambil berat sebelum makan di sesebuah premis makanan.
Kalau sedap tapi kotor pun tak ada gunanya kan. Kang tak pasal-pasal sakit perut dan cirit birit pula.
Seorang lelaki di China ini pula kembang tekak dan terkejut apabila menemui kain dalam sup hidangan hotpot yang dipesannya dari sebuah restoran di Chengdu, wilayah Sichuan, China baru-baru ini.
Memetik laporan South China Morning Post, lelaki yang hanya dikenali sebagai Ning itu pada mulanya telah memesan hidangan hotpot dari sebuah restoran untuk dibawa pulang.

Dia memesannya untuk dimakan bersama rakan-rakan sekerjanya.
Namun, ketika sedang mahu menikmati hidangan berkenaan, Ning tiba-tiba menemui daging yang disangkanya adalah perut lembu kerana perut lembut merupakan salah satu bahan yang sering digunakan dalam hidangan hotpot itu.
Jadi, dia memutuskan mahu memotong ‘perut lembu’ itu kepada ketulan yang lebih kecil agar lebih mudah untuk dimakan.
Namun, mereka perasan bahawa ia bukanlah perut lembu, sebaliknya ialah kain tuala yang digunakan di dapur, mungkin untuk mengelap pinggan atau dapur.
Sejurus mengetahui bahawa itu ialah kain buruk, dua orang rakan sekerja Ning terus muntah.

Ketika dihubungi oleh wartawan, pengurus restoran hotpot itu telah mengatakan bahawa kejadian tuala buruk itu telah berlaku disebabkan oleh seorang pekerja yang baru mula bekerja dia restoran berkenaan.
Pengurus tersebut juga mengatakan bahawa pekerja tersebut mengalami demam ketika menyiapkan hidangan itu.
Difahamkan juga, pekerja itu telah dipecat namun gajinya untuk pekerjaannya bagi tempoh sebelum kejadian tetap dibayar.
Mereka juga dikatakan akan memberi ganti rugi kepada pelanggan yang terjejas.
Walaupun dia ditawarkan ganti rugi sebanyak tiga kali ganda dari jumlah bil yang dibayar, namun ia ditolak oleh Ning.
Ning juga menggesa pihak berwajib negara itu menjalankan siasatan ke atas restoran berkenaan.
Sumber: South China Morning Post
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


