Kembar Teruja Dapat Mengundi, Tak Sangka Calon PH Juga Ada Pasangan Kembar

Politics
11 May 2024 • 10:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Chan Sher Er dan Chan Sher Ni (dua dari kiri) bergambar bersama calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao (dua dari kanan) dan kembarnya, Pang Sock Ying. – Gambar oleh Najjua Zulkefli

HULU SELANGOR -  Chan Sher Er dan Chan Sher Ni ialah pasangan kembar yang berusia 25 tahun dan hari ini, kedua-duanya amat teruja kerana berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Lebih membuatkan keduanya gembira, mereka berpeluang berjumpa calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Ada seperkara lagi yang membuatkan perjumpaan mereka bertambah menarik, iaitu Sock Tao juga rupa-rupanya memiliki pasangan kembar.

Jelas pasangan Chan itu, mereka tidak menyangka dan sangat terkejut apabila mengetahui Sock Tao juga mempunyai pasangan kembar.

“Saya terkejut kerana salah satu calon yang bertanding juga kembar macam kami,“ kata pasangan kembar itu kepada media selepas membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming.

Mereka turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama calon Sock Tao dan kembarnya, Pang Sock Ying yang melawat pusat mengundi tersebut.

Soci Tao tiba di pusat mengundi itu kira- kira jam 8.40 pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi PRK KKB dibuka serentak bermula jam 8 pagi tadi.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka sehingga jam 6 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang akan ditutup pada jam 2 petang kerana hanya memiliki 40 pengundi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bahru mempunyai 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

PRK Kuala Kubu Bahru menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Sock Tao, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). - Getaran, 11 Mei 2024