PRK KKB: Pasangan kembar OKU teruja keluar awal mengundi

Politics
11 May 2024 • 10:21 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA KUBU BAHARU - Teruja untuk menjadi antara pengundi awal, pasangan adik-beradik kembar orang kurang upaya (OKU) bersemangat apabila sudah berada di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali di sini, seawal jam 8 pagi.

Muhammad Nazmi Mohd Mazlan dan Muhammad Nazri, 25, bersemangat untuk mengundi kerana mahu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat memilih pemimpin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

image is not available
Muhammad Nazmi Mohd Mazlan (depan) dan Muhammad Nazri Mohd Mazlan, kembar kurang upaya (masalah pembelajaran) turut dibantu kakitangan SPR sebelum menunaikan kewajipan mengundi pada hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu hari ini. - Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 11 Mei, 2024

Ini adalah pengalaman kedua bagi pasangan kembar dengan masalah pembelajaran dari Taman Seri Batang Kali itu mengundi selepas buat pertama kali ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menurut Muhammad Nazmi, dia dan adiknya itu keluar awal kerana tidak mahu menunggu lama untuk beratur.

"Ini bukan pengalaman pertama (keluar mengundi) kerana sebelum ini pernah undi (pilihan raya).

"Kami mahu tunaikan kewajipan sebagai rakyat. Kami pilih keluar awal (pagi)," katanya ketika ditemui hari ini.

Muhammad Nazmi berkata, dia dan adiknya juga datang sendiri menaiki motosikal bagi menunaikan kewajipan mereka.

“Harapnya semua pengundi di sini turut menjalankan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu,” katanya.

image is not available
Sejumlah 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup jam 6 petang ini. - Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 11 Mei, 2024

PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Seramai 39,269 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan.

Sebanyak 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup jam 6 petang. - 11 Mei, 2024