Kembar tiga seiras antara 2,546 pelajar baharu UMT

29 Sep 2026 • 7:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kembar tiga seiras antara 2,546 pelajar baharu UMT

KUALA NERUS: Tiga beradik kembar seiras antara mencuri perhatian pada hari pendaftaran 2,546 pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi Sesi Akademik 2026/2027 di sini, kelmarin.

Nur Fatihah Nazaruddin, 23, Nur Insyirah dan Nur Aqilah dari Selangor bukan sahaja berkongsi wajah yang hampir serupa, malah memilih universiti dan bidang pengajian sama untuk meneruskan pengajian mereka.

Mereka ditawarkan mengikuti program Sarjana Muda Sains (Matematik Gunaan) dengan Kepujian di UMT.

Nur Fatihah berkata, dia bersyukur kerana berpeluang me­lanjutkan pengajian bersama dua adik kembarnya kerana ti­dak pernah berpisah sejak seko­lah rendah.

Katanya, pemilihan UMT juga dibuat bersama selepas melihat bidang pengajian yang ditawarkan sesuai dengan minat dan perancangan mereka.

“Kami sangat gembira kerana dapat belajar hingga ke universiti yang sama. Sejak sekolah rendah kami tidak pernah berjauhan. Secara tidak langsung memudahkan keluarga melawat kami pada masa akan datang,” katanya.

Selain kembar tiga seiras itu, tiga beradik dari Alor Setar, Kedah, turut mencuri tumpuan apabila berpeluang melanjutkan pengajian di UMT serentak.

Mereka ialah Muhammad Alif Fahmi Arshad, 21, lepasan diploma yang mengikuti pengajian selama tiga tahun; Muhammad Amin Taqiuddin, 20, lepasan Kolej Matrikulasi dengan tempoh pengajian dua tahun dan Muhammad Iqbal Izzuddin, 19, lepasan Kolej Matrikulasi yang mengikuti program persediaan selama setahun.

Muhammad Amin Taqiuddin berkata, keadaan itu bukan sahaja membolehkan mereka saling memberi sokongan dalam menempuh alam universiti, malah memudahkan urusan keluarga terutama ketika membuat persediaan penghantaran, pendaftaran dan keperluan sepanjang tempoh pengajian.

“Kami sangat gembira dapat belajar di universiti yang sama kerana banyak urusan menjadi lebih mudah. Apabila melibatkan pendaftaran atau penghantaran, semuanya di tempat yang sama dan pada masa yang sama, sekali gus dapat menjimatkan kos keluarga,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muha­mad berkata, kemasukan pelajar baharu adalah detik pen­ting dalam perjalanan akademik mereka dan UMT sentiasa ber­usaha memastikan proses pendaftaran berlangsung lancar, selesa serta memberikan pe­ngalaman awal yang positif kepada mahasiswa.

“Kami mengalu-alukan keha­di­ran semua pelajar baharu ke UMT. Setiap seorang hadir de­ngan latar belakang, pengalaman dan impian yang berbeza, namun mereka kini berkongsi satu perjalanan sebagai warga UMT.

“Manfaatkan sepenuhnya pe­luang yang tersedia di UMT, bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik tetapi membina kemahiran, persahabatan, jaringan dan pengalaman yang akan menjadi bekalan selepas tamat pengajian,” katanya.

Kemasukan Sesi Akademik 2026/2027 menyaksikan seramai 2,546 pelajar baharu mendaftar di UMT termasuk pelajar antarabangsa dari Emiriah Arab Bersatu, Republik Czech, Turkiye dan Sweden.

Kesemua pelajar berkenaan mengikuti pengajian peringkat sarjana muda dalam pelbagai bidang, khususnya berkaitan sains marin, teknologi maritim, kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan. – UTUSAN

The post Kembar tiga seiras antara 2,546 pelajar baharu UMT appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved