
PHNOM PENH: Kemboja menarik lebih 1.57 juta pelawat antarabangsa dalam tempoh 10 bulan pertama 2022, menurut laporan kementerian pelancongan pada Rabu.
Dalam tempoh Januari-Oktober, Thailand mendahului carta ketibaan pelancong antarabangsa ke Kemboja, kata laporan itu.
Ia berkata 35.5 peratus daripada pelawat memasuki negara di Asia Tenggara itu melalui udara, 63.8 peratus melalui darat dan 0.7 peratus lagi melalui laluan air.
“Berdasarkan angka ini, Kemboja diunjurkan menerima sehingga 2 juta pelancong antarabangsa untuk keseluruhan tahun 2022,” kata Menteri Pelancongan Thong Khon kepada Xinhua.
Pelancongan adalah antara empat tonggak utama yang menyokong ekonomi Kemboja. Dalam era pra-pandemik, kerajaan itu menerima 6.6 juta pelancong antarabangsa pada 2019 yang menyumbang pendapatan sebanyak AS$4.92 bilion.
Kemboja terkenal dengan tiga tapak warisan dunia iaitu Taman Arkeologi Angkor di wilayah Siem Reap, Kuil Preah Vihear di wilayah Preah Vihear, dan Tapak Arkeologi Sambor Prei Kuk di wilayah Kampong Thom.
Kemboja turut memiliki garis pantai bersih sepanjang 450 km merentas empat wilayah di barat daya.-Bernama





