Kemelut politik jangan sampai lumpuhkan pentadbiran, susahkan rakyat – PKR Negeri Sembilan

LocalPolitics
30 Sep 2026 • 8:34 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan memberi amaran kemelut institusi dan pentadbiran negeri yang berpanjangan berpotensi memberi kesan lebih besar kepada rakyat termasuk urusan pelaburan, pembangunan, tanah, projek serta peluang pekerjaan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, parti itu memandang serius perkembangan semasa selepas perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Keadilan negeri malam tadi.

PKR Negeri Sembilan turut menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar yang didakwa tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut Aminuddin, kemelut berkenaan bukan sekadar menyentuh persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, sebaliknya turut menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kemelut ini memberikan kesan terhadap kehidupan rakyat dan kegiatan ekonomi negeri. Ketidaktentuan dalam pentadbiran berkait kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Selain itu, ia berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Image from: Kemelut politik jangan sampai lumpuhkan pentadbiran, susahkan rakyat – PKR Negeri Sembilan

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, ketidaktentuan tersebut juga berpotensi menjejaskan urusan pelaburan dan pembangunan, selain kelulusan serta pindah milik tanah dan pelaksanaan projek.

Keadaan berkenaan, katanya, boleh memberi kesan terhadap keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga serta akhirnya menjejaskan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

Aminuddin turut membangkitkan isu pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli majlis yang menurutnya tidak boleh terus dibiarkan tergantung.

“Sekiranya pelantikan dan fungsi institusi ini terus tergantung, penduduk kampung dan komuniti setempat berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan,” katanya.

Image from: Kemelut politik jangan sampai lumpuhkan pentadbiran, susahkan rakyat – PKR Negeri Sembilan

Menurut beliau, kemelut berpanjangan turut menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak dapat berfungsi secara berkesan.

Justeru, Aminuddin menggesa supaya kuasa membuat keputusan dan tanggungjawab setiap pihak diperjelaskan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri tidak terjejas.

“Semua pemimpin politik diseru agar mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberi ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut itu.
“PKR Negeri Sembilan akan terus memberikan sokongan kepada Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,”ujar beliau.

Sumber: FB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved