KUANTAN – Kemelut politik di Negeri Sembilan didakwa berpunca daripada percaturan pihak tertentu yang cuba meraih kuasa, bukannya melibatkan krisis institusi diraja.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, tiada bukti menunjukkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal mentadbir negeri atau terlibat dalam rasuah, penyelewengan mahupun salah guna kuasa.
Menurutnya, dakwaan kononnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu menderhaka terhadap institusi diraja juga tidak berasas dan gagal dibuktikan.
“Selagi Yang di-Pertuan Besar itu masih kekal di takhtanya mengikut Perlembagaan Tubuh Negeri Sembilan, maka menjadi kewajipan Menteri Besar bahkan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempertahankannya,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata, soal keabsahan pelantikan Yang di-Pertuan Besar atau Undang bukan berada di bawah bidang kuasa Menteri Besar, sebaliknya tertakluk kepada peruntukan perlembagaan negeri.
“Kalau pelantikan Exco yang berada di bawah kuasa Menteri Besar pun tetap ada kaedah dan peraturannya, apatah lagi melibatkan pertabalan atau perlucutan Yang di-Pertuan Besar.
“Maka, biarlah pihak yang berkenaan menguruskannya dengan baik tanpa campur tangan politik,” jelasnya lagi.
Wan Fauzuldin memberitahu, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan semua pihak dalam kalangan pimpinan politik bahkan menghadap Yang di-Pertuan Besar adalah satu langkah bijak untuk meredakan keadaan.
Jelasnya, Anwar tidak terperangkap dengan provokasi, malah kenyataan ringkas beliau bahawa situasi itu bukan masa untuk perebutan kuasa menunjukkan beliau memahami punca krisis di Negeri Sembilan.
“Tindakan berhemah dan cermat oleh Anwar berjaya meredakan sedikit keadaan dan tiada negeri lain yang tergugat dengan tindakan rakus ahli-ahli politik di negeri adat perpatih tersebut.
“Tiada ugutan atau balas dendam, bahkan rata-rata rakyat Negeri Sembilan mengutuk perbuatan rakus cubaan menebuk atap dari dalam itu,” katanya lagi.
Beliau turut berpandangan bahawa situasi berkenaan bukan mewakili pendirian keseluruhan parti, sebaliknya dipercayai digerakkan oleh individu tertentu tanpa mandat akar umbi.
Tambah Wan Fauzuldin, rakyat Negeri Sembilan telah memberikan mandat besar kepada kerajaan perpaduan pada pilihan raya lalu.
“Perlu diingat, rakyat Negeri Sembilan memberikan kemenangan dua pertiga majoriti kepada kerajaan perpaduan untuk memerintah negeri ini, bukannya kepada PH atau Barisan Nasional (BN).
“Mengapa perlu mungkiri mandat rakyat?” soalnya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lalu, PH memenangi 17 kerusi, diikuti BN 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.
Pentadbiran Negeri Sembilan kini diterajui Aminuddin dengan komposisi kerusi yang stabil hasil gabungan PH dan BN pada PRN lalu.
Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengadakan sidang akhbar bagi memaklumkan penarikan sokongan tersebut.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak pada 19 April lalu mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.






