UMNO Negeri Sembilan khianati mandat rakyat - Wanita Keadilan

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO Negeri Sembilan khianati mandat rakyat - Wanita Keadilan
Wanita Keadilan berdiri teguh bersama Pakatan Harapan dalam menolak sebarang bentuk pengkhianatan politik. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Tindakan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun jelas mengkhianati mandat kestabilan yang diharapkan oleh rakyat.

Wanita Keadilan berkata, tindakan berkenaan juga membuktikan keutamaan sempit pihak terbabit yang sanggup mengorbankan kestabilan demi percaturan kuasa politik.

"Hakikatnya, ini bukan hanya pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan, tetapi terhadap rakyat yang amat memerlukan kestabilan politik untuk menghadapi tekanan kos sara hidup, bukan permainan kuasa sempit.

"Wanita Keadilan berdiri teguh bersama Pakatan Harapan dalam menolak sebarang bentuk pengkhianatan politik demi melindungi kepentingan serta kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang mengumumkan penarikan sokongan serta hilang kepercayaan terhadap Aminuddin berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang tegasnya perlu dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.

Bagaimanapun, Aminuddin dalam sidang media Isnin lalu menegaskan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sehingga sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) diperjelaskan, selaras dengan titah Tuanku Muhriz.

Sementara itu, Wanita Keadilan menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada kedaulatan Perlembagaan.