
SEREMBAN – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat sebagai isyarat jelas rakyat menolak politik kebencian serta sentimen perkauman.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mandat yang diberikan pengundi daripada pelbagai kaum membuktikan rakyat lebih mengutamakan kestabilan dan pentadbiran yang mampu membawa kemakmuran kepada negeri.
“Tentunya rakyat menolak unsur-unsur kebencian dan rakyat menolak unsur yang berkaitan dengan perkauman.
“Rakyat di seluruh Negeri Sembilan daripada kalangan orang Melayu, Cina, India, masyarakat Orang Asli dan kaum-kaum lain terus memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada gandingan BN dan PN,” katanya pada sidang akhbar di Wisma UMNO di sini hari ini.
Jelas Jalaluddin, beliau amat terharu dengan sokongan yang diberikan rakyat, malah mengakui tidak menjangkakan kemenangan sebesar itu.
“Saya mengucapkan rasa sangat terharu dan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, terutama pengundi yang telah memberikan mandat besar ini.
“Walaupun saya tidak menjangkakan kemenangan yang sebegitu besar, tetapi alhamdulillah dengan mandat dan amanah ini menjadi tanggungjawab kepada BN dan PN untuk menghebatkan semula pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar, Jalaluddin berkata, kemungkinan pelantikan dibuat seawal esok, namun perkara itu masih belum diputuskan.
Mengulas pembentukan kerajaan negeri, Jalaluddin berkata, proses itu akan disegerakan sebaik sahaja segala rundingan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Kemenangan besar BN-PN tanda rakyat tolak politik kebencian – Jalaluddin appeared first on Kosmo Digital.





![[TIDAK RASMI] Calon tunggal DHPP gagal ikut rentak kemenangan Pas](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/01/3602617.webp)
