
KUALA LUMPUR - Kemenangan dalam pilihan raya bukan mandat pengampunan untuk individu tertentu, dan sebarang kenyataan membawa elemen sedemikian terbukti memperlekehkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, kenyataan Datuk Nazifuddin Najib kononnya kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor adalah isyarat rakyat yang mahu Datuk Seri Najib Razak diampunkan, jelas satu ejekan terhadap prinsip demokrasi.
Menurut beliau, kenyataan itu juga bersifat angkuh dan menghina kebijaksanaan rakyat Johor.
“Pilihan raya bukan referendum untuk menentukan nasib seorang individu.
“Pilihan raya adalah medan rakyat memilih kerajaan yang mampu mentadbir dengan berintegriti, mengurus ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menarik pelaburan dan membina masa depan negeri,” katanya.
Kesal dengan kenyataan tersebut yang dianggap dangkal, Sivamalar berkata, setiap undi rakyat Johor sangat bernilai dan ia tidak boleh dijadikan lesen politik untuk menyelamatkan seorang individu yang telah dihukum oleh mahkamah.
“Pakatan Harapan (PH)sentiasa menghormati Institusi Kehakiman Negara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam proses pengampunan yang mempunyai saluran serta prosedur tanpa sebarang tekanan atau eksploitasi politik.
“Nazifuddin juga melupakan fakta sejarah pada PRU 2018 apabila Johor mencatatkan kadar keluar mengundi sekitar 89 peratus dan buat pertama kali dalam sejarah, BN tumbang di negeri yang sekian lama dianggap kubu kuatnya,” katanya.
Tegas beliau, kemenangan besar BN dalam PRN Johor 2022 berlaku semasa pandemik COVID-19 yang menyebabkan kadar keluar mengundi hanya sekitar 54.9 peratus.
Fakta berkenaan katanya, membuktikan rakyat Johor membuat keputusan berdasarkan harapan mengenai masa depan negeri bukan demi kepentingan mana-mana individu, apabila keluar mengundi.
“Justeru, cubaan menafsir keputusan tersebut sebagai ‘mandat rakyat’ untuk pengampunan Najib bukan sahaja tidak berasas malah merupakan manipulasi politik terhadap suara rakyat.
“Pada 11hb Julai 2026 nanti, saya yakin rakyat Johor sekali lagi akan membuktikan bahawa mereka tidak boleh diperkecilkan, tidak boleh diperalatkan, dan tidak boleh dipaksa menerima naratif yang menghina kebijaksanaan mereka,” katanya.
Sivamalar menarik perhatian, demokrasi bukan milik mana-mana keluarga politik, sebaliknya hak mutlak rakyat.
“Dan rakyat Johor tahu bagaimana mempertahankannya. Pada 11hb Julai ini rakyat Johor akan memberikan pengajaran kepada Nazifuddin melalui peti undi,” katanya. - Getaran, 4 Julai 2026





