Kemenangan politik lebih utama daripada tunai umrah, haji – Hadi

LocalPolitics
21 Apr 2025 • 11:44 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam di Malaysia agar meletakkan keutamaan terhadap kemenangan politik berbanding menunaikan ibadah umrah dan haji, demi memperkukuh kedudukan Islam dalam pemerintahan negara.

Menurut beliau, seruan itu mengambil ibrah daripada perjanjian Hudaibiyah ketika Rasulullah SAW dihalang menunaikan umrah namun akhirnya memperoleh kemenangan politik yang lebih besar.

Katanya, kemenangan politik tidak wajar ditangguhkan kerana Islam wajib berkuasa agar dunia diperintah menurut ajarannya.

Abdul Hadi menjelaskan, umat Islam perlu memahami bahawa kemenangan politik adalah kunci kepada kepimpinan Islam. Orang Melayu sebagai majoriti beragama Islam di Malaysia mempunyai hak untuk memimpin negara, manakala bukan Islam tetap diberi ruang untuk hidup dan menyertai kerajaan, tetapi kuasa politik perlu dipimpin oleh orang Islam.

Dalam ucapannya, beliau turut mengkritik golongan tertentu termasuk bekas ahli Pas yang menyertai Amanah serta ahli Umno yang menurutnya tidak memahami sirah perjuangan Rasulullah, sehingga mudah dipengaruhi parti lain, DAP, kerana kejahilan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menyatakan keyakinan bahawa Umno semakin kehilangan sokongan selepas tidak lagi bekerjasama dengan Pas.

Beliau menegaskan bahawa Umno sepatutnya membentuk kerajaan bersama Pas selepas PRU-15, bukannya bergabung dengan Pakatan Harapan, yang menurutnya menjejaskan kekuatan politik Islam.

Sumber: Harian Metro