Kemenangan SRG Raih Perhatian Pemimpin Negara, ‘Kejayaan Buat Rakyat Malaysia’ 

15 Jul 2024 • 8:50 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kejayaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) pada kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 semalam turut mendapat perhatian pemimpin negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ciapan di X berkata, kemenangan itu merupakan kejayaan buat seluruh rakyat Malaysia.

“Sejarah tercipta! Selangor Red Giants juara dunia! Tahniah SRG berjaya menumpaskan juara dunia, Falcons AP Bren. 

“Alhamdulillah! Kejayaan buat semua rakyat Malaysia,” katanya.

Turut menzahirkan kegembiraan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Sekalung tahniah buat pasukan Selangor Red Giants kerana telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia,” ciapnya.

Beliau turut berkongsi kegembiraan anak-anaknya yang bersorak sebaik sahaja menyaksikan kemenangan pasukan negara menerusi penstriman langsung di televisyen.

“Anak-anak di rumah turut bersorak gembira ketika Selangor Red Giants mencipta kemenangan dan menjadi juara dunia. Tahniah Yoodo Selangor Red Giants,” katanya.

Menerusi kemenangan tersebut, pasukan negara membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$1 juta (RM4.67 juta).

Pertandingan akhir MLBB 2024 berlangsung di Riyadh, Arab Saudi semalam, yang menyaksikan pasukan negara menewaskan juara dunia, Falcons AP Bren 4-3.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada SRG atas kejayaan mara ke peringkat akhir pertandingan.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, perjalanan luar biasa dan pencapaian cemerlang pasukan e-sukan itu di pentas antarabangsa membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

"Tidak kira apa juga keputusannya nanti, anda telahpun melakar kejayaan besar dengan membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga.

“Dedikasi, kemahiran dan semangat anda benar-benar memberi inspirasi,” katanya. - Getaran, 15 Julai 2024