
PETALING JAYA – Kementerian Digital memperluaskan akses pembelajaran digital dengan menambah 25,000 lesen Pas Pembelajaran Global (GLP) melalui portal Rakyat Digital yang dilaksanakan oleh MyDIGITAL Corporation.
Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan lesen yang tersedia kini mencecah 50,000 lesen, susulan sambutan menggalakkan masyarakat.
Lesen tambahan ini akan ditawarkan pada pertengahan November 2026 kepada 25,000 pemohon terawal dalam senarai menunggu. Pemohon disarankan untuk menyemak akaun e-mel berdaftar mereka secara berkala, termasuk folder Spam dan Promosi, bagi mendapatkan pemberitahuan serta arahan mengenai langkah seterusnya untuk memperoleh lesen masing-masing.
Melalui GLP yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan, rakyat Malaysia dapat menikmati akses percuma selama tiga bulan kepada lebih 16,000 kursus, projek berpandu dan sijil profesional di Coursera yang ditawarkan oleh universiti terkemuka dunia serta rakan industri.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, rakyat Malaysia perlu diberi peluang untuk membina kemahiran yang relevan serta keyakinan untuk menggunakan teknologi.
“Sambutan yang amat menggalakkan terhadap GLP menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan rakyat untuk terus belajar.
“Melalui peruntukan tambahan sebanyak 25,000 lesen ini, kita menyahut permintaan tersebut dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk memperkukuh keupayaan, meningkatkan prospek kerjaya serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rakyat Malaysia boleh melayari www.rakyatdigital.gov.my bagi mengakses kursus pembelajaran percuma. – KOSMO! ONLINE
The post Kementerian Digital tambah 25,000 lesen Pas Pembelajaran Global appeared first on Kosmo Online.



