Kementerian Digital Sedia Akses Coursera Kepada 100,000 Rakyat, Sokong Visi AI 2030

LocalTechnology
8 Oct 2026 • 4:04 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Kementerian Digital Sedia Akses Coursera Kepada 100,000 Rakyat, Sokong Visi AI 2030

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Digital menerusi MyDIGITAL Corporation membiayai akses kepada pembangunan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI) melalui portal Rakyat Digital bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi Negara AI 2030.

Coursera merupakan penyedia platform pembelajaran bagi inisiatif itu yang membolehkan rakyat Malaysia memiliki MyDigital ID mengakses lebih 16,000 kursus serta program Sijil Profesional menerusi Pas Pembelajaran Global yang dibiayai kerajaan.

Kursus berkenaan ditawarkan oleh universiti terkemuka serta pakar industri dari seluruh dunia dalam pelbagai bidang termasuk AI, teknologi, sains data, perniagaan dan literasi digital.

Menurut kementerian, kepantasan perubahan teknologi pada masa ini menuntut pembelajaran secara berterusan.

Laporan Masa Depan Pekerjaan 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia menganggarkan 41 peratus daripada kemahiran teras di Malaysia dijangka berubah menjelang 2030.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada ekosistem Rakyat Digital dan menyokong Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.

Melalui Pas Pembelajaran Global, rakyat Malaysia menerima akses percuma selama tiga bulan kepada platform Coursera, manakala sebanyak 100,000 lesen dilancarkan secara berperingkat mulai 16 Sept 2026, tertakluk kepada syarat kelayakan dan ketersediaan.

Menerusi pendekatan Kesedaran, Akses dan Penggunaan (Awareness, Access and Adoption) Rakyat Digital, MyDIGITAL Corporation sedang membangunkan ekosistem pembelajaran digital nasional bagi membantu rakyat Malaysia beralih daripada memahami teknologi digital dan AI kepada mengaplikasikannya dalam pendidikan, kerjaya serta perniagaan.

Dalam pada itu, keputusan awal menunjukkan sambutan menggalakkan apabila 12,900 peserta mendaftar bagi mengikuti 43,000 kursus dalam tempoh tiga minggu pertama.

Pendaftaran tertinggi direkodkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Perak, mencerminkan tahap kesedaran serta penggunaan yang kukuh di negeri berkenaan.

Antara kursus paling popular ialah Google’s AI Fundamentals, Foundations: Data, Data, Everywhere dan Foundations of Project Management, yang menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan pekerjaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar berkata melalui Rakyat Digital yang dipacu MyDIGITAL Corporation, kementerian komited memastikan pembelajaran AI dan digital dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Image from: Kementerian Digital Sedia Akses Coursera Kepada 100,000 Rakyat, Sokong Visi AI 2030
Kredit: Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar

“Memperluas akses kepada kursus yang diiktiraf di peringkat global serta kelayakan profesional melalui Coursera mengukuhkan komitmen kami untuk membangunkan tenaga kerja yang sedia masa depan.

“Objektif utama kami adalah untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang relevan supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam ekonomi digital dengan yakin dan saksama,” katanya.

Baca juga:

Sementara itu, Ketua Global Perusahaan Coursera Anthony Salcito berkata Malaysia sedang menetapkan penanda aras mengenai bagaimana sesebuah negara boleh mempersiapkan rakyatnya menghadapi masa depan yang dipacu AI.

Image from: Kementerian Digital Sedia Akses Coursera Kepada 100,000 Rakyat, Sokong Visi AI 2030
Kredit: Ketua Global Perusahaan Coursera Anthony Salcito

Beliau berkata pihaknya berbangga menjadi sebahagian daripada aspirasi berkenaan, selain menyifatkan inisiatif itu penting dalam membina budaya pembelajaran sepanjang hayat yang menyokong agenda transformasi AI dan digital Malaysia.

“Melalui MyDIGITAL Corporation, Coursera berbesar hati membawa ekosistem pembelajaran globalnya kepada rakyat Malaysia, sekali gus memberi mereka akses kepada kemahiran dan kelayakan untuk kekal berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang berubah pantas,” katanya.

Rakyat Malaysia boleh mendaftar untuk Pas Pembelajaran Global Rakyat Digital melalui portal Rakyat Digital bagi mengakses program berkenaan dan membina kemahiran yang diperlukan untuk ekonomi digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved