Kementerian Kewangan akan teliti cadangan sistem cukai hibrid GST-SST

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kementerian Kewangan akan teliti cadangan sistem cukai hibrid GST-SST
Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan diberikan sedikit masa untuk menyediakan laporan susulan cadangan kerajaan untuk menggabungkan elemen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, laporan itu akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.

"Ini masih di peringkat awal dan Kementerian Kewangan diberi masa memandangkan ia bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara terburu-buru dan melibatkan aspek-aspek pengajaran daripada pelaksanaan sistem GST, isu-isu dihadapi berdasarkan sistem SST waktu ini.

"Jadi perkara-perkara ini akan dipertimbang oleh Kementerian Kewangan sebelum dibawa untuk dibincang dan diputus di Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.

Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai keperluan Kementerian Kewangan, khususnya Menteri Kewangan II untuk menjalankan kajian penuh mengenai cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST itu.

Ditanya sama ada Perdana Menteri menetapkan tempoh tertentu bagi laporan itu disiapkan dan sama ada perkara berkenaan akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan yang akan datang, Fahmi berkata, perkara tersebut tidak dimaklumkan di dalam mesyuarat hari ini.

Semalan, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan bersedia untuk mengkaji cadangan menggabungkan elemen GST dengan SST untuk memastikan sistem percukaian negara yang lebih progresif.

Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia masih akan mengekalkan SST sebagai sistem percukaian negara, namun akan dipertimbangkan sekiranya terdapat beberapa ciri (dalam GST) yang boleh diterima. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved