Kementerian khas diperlukan bagi membela kebajikan warga emas – Hannah

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 6:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Kementerian khas diperlukan bagi membela kebajikan warga emas – Hannah

Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh menegaskan penubuhan kementerian khusus penting bagi menjamin dasar, peruntukan serta sokongan menyeluruh untuk golongan berusia.

KUALA LUMPUR: Penubuhan kementerian khusus bagi warga emas wajar dipertimbangkan bagi memastikan keperluan dan kebajikan golongan itu mendapat perhatian sewajarnya dalam penggubalan dasar, peruntukan belanjawan serta pembangunan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata warga emas, khususnya mereka berusia 60 hingga 80-an, masih merupakan golongan yang kurang mendapat perhatian meskipun telah banyak menyumbang kepada negara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, selain tiada agensi kerajaan khusus bertanggungjawab menjaga keperluan golongan berkenaan.

Beliau berkata penggubal dasar perlu mengubah persepsi tradisional bahawa golongan berusia tidak lagi produktif atau berminat untuk bekerja, sebaliknya mengiktiraf potensi mereka untuk terus aktif menyumbang kepada masyarakat.

“Selagi kita tidak mempunyai kementerian khusus (bagi warga emas), pihak yang memperjuangkan kepentingan mereka, penggubal dasar serta peruntukan belanjawan dikhususkan untuk golongan ini, kita tidak akan dapat melihat keperluan warga emas secara menyeluruh, termasuk dalam meneliti pindaan undang-undang.

“Semua itu memerlukan tenaga dan sumber daripada sebuah kementerian khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel High-Level Forum on the Silver Economy 2026: Healthy Longevity for Economic Growth membincangkan tajuk Built for Every Age: Cities, Work, and the Environments That Extend Health and Enterprise, di sini hari ini.

Hannah berkata kerajaan telah memperuntukkan sumber besar bagi memenuhi keperluan rakyat dalam tempoh 30 tahun pertama kehidupan mereka menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kanak-kanak, pendidikan, pengajian tinggi serta belia, namun perhatian sama masih kurang diberikan kepada golongan berusia.

Beliau berkata ketiadaan sokongan institusi khusus menyebabkan keperluan warga emas berisiko terabai, termasuk peluang untuk terus bekerja, mengekalkan hubungan sosial serta melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Hannah turut menekankan kepentingan memenuhi keperluan sosial dan emosi warga emas, khususnya mereka yang masih bujang atau kehilangan pasangan, dengan aspek persahabatan dan peluang membina hubungan sosial tidak seharusnya dipandang ringan.

“Kita sering menganggap warga emas tidak lagi memerlukan teman atau pasangan hidup… apabila seseorang kehilangan pasangan, kita menganggap mereka mampu meneruskan kehidupan bersendirian tanpa masalah.

“Justeru, tiada siapa memberikan perhatian kepada keperluan ini, sedangkan jika keperluan sosial tidak dipenuhi, kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental mereka akan terjejas,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata penyediaan ruang yang selamat untuk warga emas bersosial serta peluang membina hubungan persahabatan perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan lebih menyeluruh mengenai penuaan, dan bukan hanya tertumpu kepada program saringan kesihatan serta perancangan kewangan.

Pada sesi berasingan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri sedang merangka Akta Keupayaan Mental bagi memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap warga emas, khususnya daripada penderaan dan pengabaian, seiring dengan peralihan Malaysia ke arah negara menua.

Penolong Pengarah BHEUU Nur Shahkierin Abd Manan berkata cadangan perundangan itu akan merangkumi perkara berkaitan keupayaan mental, termasuk membuat keputusan mengenai penjagaan kesihatan, kebajikan dan harta, selain melengkapi Rang Undang-Undang Warga Emas yang dicadangkan.

“Akta Keupayaan Mental memberi tumpuan kepada aspek kebajikan serta usaha mencegah penderaan dan pengabaian warga emas.

“Justeru, BHEUU kini sedang menyokong usaha penggubalan Rang Undang-Undang Warga Emas, selain memberikan tumpuan kepada Akta Keupayaan Mental secara menyeluruh bagi melengkapi rang undang-undang berkenaan,” katanya pada sesi bertajuk Law in Ageing Societies.

Nur Shahkierin berkata sesi libat urus bersama mufti negeri dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan diadakan bulan ini, bagi mendapatkan pandangan dari perspektif syariah serta memastikan kerangka perundangan yang dicadangkan mengambil kira bidang kuasa negeri dalam hal ehwal syariah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved