Tawaran 30 peratus untuk tentera bukan ‘gula-gula’ pilihan raya

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 1:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tawaran 30 peratus untuk tentera bukan ‘gula-gula’ pilihan raya

MELAKA: Tawaran 30 peratus daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang khusus untuk kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan ‘gula-gula’ bagi meraih undi awal, sebaliknya komitmen yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, ia merupakan sebahagian daripada lapan aku janji yang dikemukakannya kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan khas itu akan memberi manfaat kepada anggota tentera, pasangan dan veteran bagi memastikan kebajikan serta program berkaitan terus diberi perhatian.

“Saya menawarkan 30 peratus daripada jumlah peruntukan yang diturunkan kepada ADUN, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat di Sungai Udang, khas untuk warga Angkatan Tentera, pasangan mereka dan veteran.

“Ia bagi memastikan program serta kebajikan mereka dapat dilaksanakan. Jadi kalau pihak-pihak yang mengatakan gula-gula pilihan raya, kita tidak mungkin boleh menghalang mereka untuk bersuara dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terendak di sini hari ini.

Mengulas persepsi gula-gula pilihan raya, Rais berkata, rekod pelaksanaan lapan tawaran yang dikemukakannya ketika menjadi ADUN Paya Rumput membuktikan komitmennya.

Katanya, lebih 90 peratus daripada lapan tawaran berjaya diselesaikan hasil usaha bersama sepanjang tempoh lima tahun.

“Alhamdulillah, saya yakin media juga boleh menyemak rekod saya. Saya tawarkan lima tahun dahulu lapan tawaran di Paya Rumput dan kelapan-lapan tawaran itu berjaya kita selesaikan dengan lebih 90 peratus.

“Jadi, saya yakin setiap calon perlu memberikan komitmen sebenar kerana rakyat akan menilai apabila tiba masanya mereka mengundi semula,” katanya.

Beliau berkata, setiap calon sepatutnya mengetengahkan tawaran yang realistik dan mampu dilaksanakan berbanding menggunakan pendekatan memburukkan pihak lawan untuk meraih sokongan.

Katanya, pendekatan politik berasaskan fitnah, provokasi dan kempen kotor tidak sepatutnya menjadi strategi untuk mempengaruhi pengundi, khususnya golongan muda.

“Strategi politik boleh, tetapi kita tawarkan apa yang mahu dilaksanakan untuk rakyat. Janji mesti ditepati, bukan ‘dicapati’,” katanya. – UTUSAN

The post Tawaran 30 peratus untuk tentera bukan ‘gula-gula’ pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved