
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap peruntukan tambahan dapat disediakan bagi memperluas bantuan perundangan kepada wanita dan ibu tunggal yang berdepan kekangan kewangan untuk menuntut hak mereka.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan berkenaan amat diperlukan terutama wanita yang telah memperoleh keputusan mahkamah berhubung tuntutan mut’ah atau nafkah anak, tetapi masih gagal menerima bayaran yang diperintahkan.
Menurut beliau, terdapat bekas isteri yang mahu menuntut hak mereka tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman bagi tindakan susulan.
“Kadang-kadang mahkamah sudah membuat keputusan, contohnya kewajipan membayar mut’ah atau nafkah anak, tetapi bekas suami masih tidak membayar.
“Bekas isteri pula ingin menuntut hak, tetapi kekangan kewangan menjadi penghalang. Inilah antara peranan yang kita ambil untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITA) 2026 Peringkat Negeri Sabah di Hotel Ming Garden, di sini hari ini.
Nancy berkata, KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bekerjasama dengan Mahkamah Syariah, bahagian kaunseling serta peguam Syarie dan sivil bagi memberikan panduan perundangan kepada wanita yang berdepan masalah berkenaan.
Katanya, masih terdapat kes yang tertangguh dan belum dapat diselesaikan sepenuhnya, justeru data berkaitan perlu direkodkan sebagai rujukan bagi merancang tindakan susulan pada masa akan datang.
“Harapan kami agar peruntukan bajet dapat diperoleh lagi demi membantu golongan wanita, keluarga dan anak-anak.
“Usaha ini melibatkan capaian di seluruh negara dan kita mahu memastikan bantuan dapat diteruskan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, jumlah bantuan yang diperlukan pada masa depan bergantung kepada peruntukan yang diluluskan kerana keperluan setiap kes berbeza, termasuk kos pengurusan kes, pergerakan ke mahkamah dan bayaran peguam.
Menurut Nancy, KPWKM turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan ekonomi wanita melalui latihan kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari dan menjana pendapatan sendiri.
“Isu yang dihadapi wanita sebenarnya serupa di mana-mana. Kita mahu mereka mempunyai keberanian untuk mencari jalan keluar, mendapatkan bantuan dan bekerja supaya dapat membina masa depan yang lebih baik untuk diri serta anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, program advokasi berkaitan keganasan rumah tangga dan gangguan seksual akan terus diperkasakan bagi meningkatkan kesedaran wanita serta kanak-kanak mengenai hak dan saluran bantuan yang disediakan kerajaan.
Sementara itu, KPWKM meneruskan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITA) 2026 dengan peruntukan RM3.5 juta untuk pelaksanaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, RM2 juta disediakan bagi bantuan guaman yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500 permohonan kes tuntutan baharu. – UTUSAN
The post Kementerian mahu peruntukan tambahan bantuan guaman wanita appeared first on Utusan Malaysia.






