Misi sasar emas pertama Olimpik, KBS sedia pertimbang tambahan RM1 juta buat angkat berat

5 Aug 2026 • 11:44 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mempertimbangkan permohonan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun yang dikemukakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi memperkukuh pembangunan sukan itu, yang dilihat berpotensi menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat negara.

Perbincangan akan dilakukan

Memetik laporan daripada Bernama, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyatakan KBS telah memperuntukkan sebanyak RM4.1 juta bagi pembangunan sukan angkat berat sepanjang 2026, meliputi pembangunan atlet, jurulatih serta program Road to Gold (RTG), Podium, Pelapis dan bakat akar umbi.

“Saya telah menghubungi Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat dan beberapa persatuan angkat berat untuk berbincang lebih lanjut tentang perkara tersebut (permohonan RM1 juta). Saya tahu satu daripadanya disebabkan kos atau gaji jurulatih dan sebagainya.
“Kita akan membuat perbincangan mendalam untuk ditetapkan sebab akhirnya kita ingin teroka sukan yang mampu menyumbang pingat emas pertama Olimpik.
“Insya-Allah angkat berat ini menjadi antara sukan yang kita fokus untuk pembangunannya dan kita akan mengadakan perbincangan lebih lanjut untuk mengetahui tentang perincian kewangan tambahan yang diperlukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kontinjen Sukan Komanwel Glasgow di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Image from: Misi sasar emas pertama Olimpik, KBS sedia pertimbang tambahan RM1 juta buat angkat berat

Langkah perlu dilaksanakan segera

Menurut beliau, ketika ini terdapat dua atlet angkat berat berada di bawah program RTG, lapan atlet dalam Program Podium dan dua lagi menyertai Program Pelapis sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.

Dalam masa sama, Dr Mohammed Taufiq turut memberi komitmen untuk meneliti isu kebajikan jurulatih di peringkat negeri yang berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pembangunan sukan angkat berat terus berada pada landasan terbaik.

“Itu antara langkah yang perlu kita laksanakan dengan segera supaya kita dapat mencari penyelesaian.
“Kita lihat sukan ini ialah sukan masa depan yang mampu memberikan kemenangan besar untuk kita, jadi kebajikan jurulatih juga perlu dipandang oleh pihak kementerian dan persatuan,” katanya.

Image from: Misi sasar emas pertama Olimpik, KBS sedia pertimbang tambahan RM1 juta buat angkat berat

Pada temasya Sukan Komanwel Glasgow, angkat berat muncul antara penyumbang terbesar kepada kejayaan kontinjen negara apabila meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus membantu Malaysia menamatkan saingan dengan kutipan keseluruhan lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.

Sumber: Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved