Kementerian Pembangunan Luar Bandar mahu bidang kuasa diperkasa

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 2:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berhasrat memperkukuh bidang kuasa dan keupayaannya sekurang-kurangnya kepada tahap 50 peratus setara dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di peringkat Persekutuan.

Menterinya, Datuk Rubin Balang berkata ia bagi mempertingkat keberkesanan pelaksanaan pembangunan luar bandar di Sabah.

“Peranan KPLB ketika ini lebih tertumpu kepada bantuan bersifat sementara seperti penyediaan sumber air melalui telaga tiub dan sistem paip graviti selain projek kecil seperti jalan kampung menggunakan gravel atau konkrit.

“Bagaimanapun bagi projek berskala besar seperti pembinaan jalan raya berpiawaian tinggi (R2, R3) dan infrastruktur utama lain, pelaksanaannya masih perlu disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan keterbatasan bidang kuasa serta peruntukan kementerian.

“Had kuasa kewangan KPLB bagi melaksanakan projek masih rendah dengan kelulusan di peringkat daerah dan kementerian terikat kepada nilai tertentu sekali gus menghadkan pelaksanaan projek berskala besar.

“Had kuasa ini tidak banyak berubah sejak tahun 1970-an atau 1980-an sedangkan keperluan pembangunan semakin meningkat. Oleh itu sudah tiba masanya peranan kementerian ini diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi taklimat bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di Dewan Persidangan MPS pada Selasa sebelum meneruskan dialog bagi membincangkan isu pembangunan luar bandar serta pembinaan rumah SMJ.

Mengulas lanjut beliau berkata usaha memperluas bidang kuasa serta meningkatkan keupayaan kementerian akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk pertimbangan dengan harapan dapat memberi impak lebih besar kepada pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat di Sabah. Menurutnya hasrat itu disuarakan susulan kekangan peranan dan had kuasa sedia ada kementerian yang dilihat tidak lagi selari dengan keperluan pembangunan semasa khususnya di kawasan luar bandar yang semakin berkembang.

Sementara itu dalam sesi tersebut pelbagai isu dibangkitkan termasuk aspek pemantauan, kualiti pembinaan serta kelewatan penyiapan projek.

Ahli majlis turut memaklumkan terdapat rumah yang tidak memuaskan hati penerima dan masyarakat setempat dipercayai berpunca daripada kegagalan kontraktor menyiapkan projek sepenuhnya.

Sehubungan itu kementerian menegaskan keperluan untuk memperketat proses pemilihan kontraktor dengan menitikberatkan pengalaman, kemampuan serta kepakaran. Kita tidak boleh melantik kontraktor secara sembarangan. Kontraktor yang dipilih mesti benar-benar berkeupayaan untuk melaksanakan dan menyiapkan projek mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Rubin menegaskan kontraktor yang gagal menyiapkan projek tidak akan menerima bayaran dan akan disiasat bagi mengenal pasti punca kegagalan.

“Jika didapati berlaku kecuaian, kontrak akan ditamatkan dan diserahkan kepada pihak lain untuk disiapkan,” jelasnya.

Turut hadir pada sesi taklimat tersebut Pembantu Menteri I KPLB Datuk Samad Jambri, Pembantu Menteri II Datuk Juil Nuatim, Setiausaha Tetap KPLB Datuk Myrna Jimenez, Presiden MPS Datuk Walter Kenson serta ahli majlis MPS.