Kementerian Perpaduan Negara kena kerja lebih

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perpaduan bukan projek bermusim atau slogan kempen, ia memerlukan usaha berterusan, strategi jelas dan kehadiran aktif kerajaan di tengah masyarakat.

ISU perpaduan nampaknya semakin panas sejak kebelakangan ini. Media sosial dipenuhi pelbagai kenyataan provokatif, sindiran perkauman dan sentimen agama yang sensitif.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang pada Selasa memberi amaran keras supaya semua pihak menghentikan sebarang penyebaran kebencian.

Beliau turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan rasa tidak harmoni dalam negara.

Tindakan tegas Aaron ini seharusnya disambut baik rakyat Malaysia yang cintakan keamanan negara. Namun, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, mengapa keadaan dibiarkan tegang barulah tindakan lebih tegas diambil.

Usaha menjaga keharmonian tidak boleh bermula hanya apabila keadaan sudah panas. Sepatutnya ia dilakukan sejak awal ketika bibit-bibit ketegangan mula muncul.

Dalam dunia media sosial yang pantas, api kecil boleh merebak menjadi kebakaran besar hanya dalam beberapa jam.

Jika membiarkan sehingga rakyat saling bertikam lidah di ruang maya, ketika itu tugas untuk memulihkannya semula akan jadi lebih sukar.

Ketika inilah Kementerian Perpaduan Negara perlu memainkan peranan. Bukan sekadar mengeluarkan kenyataan atau melancarkan kempen perpaduan yang bersifat simbolik.

Rakyat mahukan tindakan yang lebih menyeluruh dan konsisten termasuk memperkukuh dialog antara kaum, memperbanyak program komuniti di peringkat akar umbi dan memastikan isu sensitif ditangani secara cepat sebelum menjadi bahan provokasi.

Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak sukakan politik kebencian, juga benci dengan perbuatan segelintir pihak yang cuba mengapi-apikan isu 3R (kaum, agama dan raja). Kita hanya mahu hidup aman dalam suasana harmoni.

Justeru, Kementerian Perpaduan Negara perlulah bekerja lebih keras lagi. Bukan sekadar bertindak selepas krisis tercetus tetapi membina benteng perpaduan sebelum masalah menjadi parah.

Perpaduan bukan projek bermusim atau slogan kempen, ia memerlukan usaha berterusan, strategi jelas dan kehadiran aktif kerajaan di tengah masyarakat.

Jika usaha memulihara perpaduan negara dilakukan secara serius, masyarakat pasti menyokong.