Wired Different : Ia Bukan Sekadar Kempen, Ini Arah Baharu MotoGP

19 Feb 2026 • 11:18 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Kempen “Wired Different” yang diperkenalkan oleh MotoGP untuk musim 2026 terasa seperti satu mesej yang jelas iaitu MotoGP mahu dilihat, difahami dan dirasai dengan cara berbeza.

Selepas musim 2025 yang mencatat kehadiran 3.6 juta penonton di litar, arah yang diambil ini sebenarnya agak logik. MotoGP sedar kekuatan sebenar sukan ini bukan sekadar siapa menang, tetapi apa yang berlaku di antara setiap selekoh, setiap risiko yang diambil dan setiap keputusan spontan pada kelajuan ekstrem.

“Wired Different” cuba untuk memanipulasi perkara itu. Obsesi terhadap perincian kecil, naluri untuk menyerang saat orang lain menunggu dan keberanian pelumba beroperasi pada had fizik, semua ini menjadi identiti yang mahu ditonjolkan semula kepada peminat.

Pelancaran musim di Kuala Lumpur juga bukan kebetulan. Ia mencerminkan fokus kepada pasaran Asia yang semakin penting, terutama generasi peminat baharu yang melihat MotoGP bukan sekadar sukan, tetapi pengalaman hiburan.

Menariknya, kempen ini seperti reaksi terhadap trend sukan moden yang kadang-kadang terasa terlalu selamat dan terlalu “polished”. MotoGP memilih arah bertentangan dengan mengekalkan elemen ‘raw sports’, situasi yang tidak dijangka dan sedikit kacau bilau yang memang menjadi DNA sukan ini.

Kalau pihak penganjur konsisten dengan falsafah baharu mereka, “Wired Different” boleh menjadi lebih daripada kempen. Ia boleh menjadi cara baru MotoGP bercerita tentang dirinya dengan lebih emosi, lebih dekat dan lebih hidup. Itu yang sebenarnya peminat mahukan. Bukan sekadar sukan untuk tontonan, tetapi pengalaman yang terbenam didalam sanubari peminat MotoGP.

The post Wired Different : Ia Bukan Sekadar Kempen, Ini Arah Baharu MotoGP appeared first on TW Media.