
Tenom: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yakin penglibatan pelajar dalam program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan meningkat kepada 40 peratus pada penghujung 2025.
Setiausaha Tetap KSTI Datuk Zainudin Aman berkata, tahun ini penglibatan pelajar yang membabitkan sekolah menengah dan rendah di seluruh Sabah dalam program STEM telah mencapai 27 peratus.
“Insyallah pada penghujung tahun ini kita akan mencapai melebihi 30 peratus meskipun sebelum ini penglibatan pelajar agak rendah kerana mungkin disebabkan PKP Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program STEM Fiesta dan Karnival Inovasi Pendidikan PPD Tenom Peringkat Negeri 2023 di Dewan SJKC Chung Hwa di sini, Sabtu.
Zainudin berkata, program STEM yang dilaksanakan di PPD Tenom ini merupakan yang ke-11 dalam keseluruhan STEM Fiesta yang diadakan tahun ini daripada 24 PPD yang diberikan peruntukan oleh KSTI.
