Kemiskinan haid tidak boleh dianggap isu remeh

LocalHealth & Fitness
21 Sep 2026 • 4:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kemiskinan haid tidak boleh dianggap isu remeh

TAWAU: Jalinan kerjasama merentas kementerian serta agensi amat diperlukan bagi pengurusan kebersihan haid (MHM) kata Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal.

Rina berkata ia kerana isu kemiskinan haid tidak lagi boleh dianggap remeh malah pendekatan holistik merangkumi akses terhadap produk kebersihan haid yang baik, ruang privasi secukupnya bagi menguruskan diri ketika tempoh haid, kemudahan untuk membuang bahan pengurusan haid terpakai, tempat pelupusan tuala wanita bersesuaian dan sumber air yang bersih wajib dititikberatkan.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan sangat sinonim dengan isu ini dan kita menggesa kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Komunikasi dan Digital agar turut lebih pro ktif dalam membantu.

“Saya berpandangan kerajaan dan penggubal dasar perlu mengutamakan kemiskinan haid sebagai isu kesihatan awam termasuklah penglibatan semua pihak dan tidak hanya bergantung kepada inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan.

“Kita tidak boleh lagi menutup mata dan menganggap isu ini remeh. Seseorang anak gadis tidak sepatutnya dihukum atau tercicir daripada pendidikan hanya kerana proses biologi semula jadi yang dilalui mereka setiap bulan,”katanya.

Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan berkata demikian pada Program Bicara Madani: Kemiskinan Haid Peringkat Daerah Tawau 2026 di SMK Tawau 2 pada Sabtu.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Negeri dan Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) itu disertai 250 pelajar perempuan Tingkatan Satu hingga Tiga sekolah terbabit.

Menurutnya Rina, peningkatan pendidikan dan perkongsian pengetahuan berkaitan pengurusan haid juga perlu dilakukan dengan lebih terbuka tanpa wujudnya stigma atau persepsi negatif dalam institusi pendidikan.

Beliau mahu perkongsian pengetahuan antara organisasi, dalam komuniti dan di sekolah perlulah mampu melindungi perasaan malu, tidak selesa dan rendah diri golongan ini kepada suatu perasaan prihatin, dihargai, dihormati dan disayangi.

Dalam pada itu Rina berkata kemiskinan haid sering dikaitkan dengan anak-anak gadis di luar bandar, remaja daripada keluarga B40 dan golongan gelandangan yang tidak mampu membeli tuala wanita atau produk sanitari asas setiap bulan kerana kekangan kewangan.

“Isu ini menjadi tabu atau larangan dalam adat dan budaya kebanyakan kaum di dunia khasnya di negara-negara membangun sekaligus salah satu penyebab utama mengapa pembasmian kemiskinan haid ini sukar diatasi.

“Bayangkan ada dalam kalangan anak-anak kita yang terpaksa ponteng sekolah semata-mata kerana mereka tidak mempunyai tuala wanita yang bersih. Ada juga yang terpaksa menggunakan alternatif yang tidak selamat seperti kain buruk, surat khabar, atau tisu tebal.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik mereka, malah mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan kuman dan masalah kesihatan mental seperti kemurungan serta hilangnya keyakinan diri,” ujarnya..

Justeru beliau meminta semua pihak berkepentingan agar menyediakan suatu platform mendapatkan maklumat dan akses kepada kemudahan dan produk pengurusan haid di samping mewujudkan polisi-polisi baharu yang dapat membantu menyokong kesihatan dan kesejahteraan golongan berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved