Kempen 11 Juta Pokok: 1,000 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Kuala Bernam

LocalEnvironment
27 Jul 2026 • 11:14 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kempen 11 Juta Pokok: 1,000 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Kuala Bernam

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 1,000 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Kuala Bernam, Sabak Bernam menerusi Kempen Penanaman 11 Juta Pokok Peringkat Negeri Selangor, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah itu merupakan sebahagian daripada usaha memulihara ekosistem hutan paya laut.

JPNS memaklumkan program berkenaan disertai 160 peserta yang terdiri daripada 80 pelajar, 75 kakitangan Pejabat Hutan Daerah Pantai Klang (PHDPK) serta Seksyen Silvikultur dan Perlindungan Hutan, selain lima guru pengiring.

“Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan pemeliharaan hutan paya laut serta menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan Kempen Penanaman 11 Juta Pokok.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah kuiz berkaitan hutan paya laut, taklimat kaedah penanaman pokok bakau serta penanaman sebanyak 1,000 pokok bakau daripada spesies Bakau Kurap dan Bakau Minyak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Image from: Kempen 11 Juta Pokok: 1,000 pokok bakau ditanam di Hutan Simpan Kuala Bernam
Peserta bergambar selepas menyertai program penanaman 1,000 pokok bakau sempena Kempen Penanaman 11 Juta Pokok Peringkat Negeri Selangor di Hutan Simpan Kuala Bernam, Sabak Bernam, baru-baru ini. Foto Facebook JPNS

Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Pengarah (Operasi) JPNS, Mohd Nor Firdaus Rahim.

Pada April lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Kerajaan Negeri berada pada landasan tepat dalam menjamin kelestarian alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif, termasuk sasaran penanaman 11 juta pokok.

Kempen Penanaman 11 Juta Pokok Negeri Selangor yang dilancarkan pada 2021 bertujuan memulihara alam sekitar melalui kerjasama pelbagai agensi, selain meningkatkan keluasan kawasan hijau dan membantu menangani perubahan iklim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved