liza24/09/2026 - 10:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept – AmInvestment Bank menjangkakan keuntungan Nestlé (Malaysia) Berhad pulih dengan ketara dalam tempoh 2026 hingga 2028 apabila tekanan daripada kempen boikot semakin reda manakala usaha penstrukturan semula kumpulan mula memberi kesan kepada kos operasi.
Firma penyelidikan itu kembali memulakan liputannya terhadap syarikat itu dan menaikkan anggaran keuntungan teras Nestlé Malaysia sebanyak 37% kepada RM687.6 juta pada FY26 daripada RM500.4 juta sebelum ini, manakala unjuran FY2027 dinaikkan 36% kepada RM705.3 juta daripada RM520.3 juta.
Bagi FY2028, AmInvest mengunjurkan keuntungan teras sebanyak RM803.4 juta dengan hasil masing-masing dijangka mencecah RM7.22 bilion pada FY2026, RM7.59 bilion pada FY2027 dan RM7.97 bilion pada FY2028.
Sehubungan itu, AmInvest memberikan saranan ‘Beli’ terhadap saham Nestlé dengan harga sasaran RM135, berbanding harga RM89.16 ketika laporan diterbitkan, yang mencerminkan potensi pulangan sekitar 55%.
AmInvest berkata harga saham Nestlé telah susut lebih 25% daripada paras tertinggi pada Januari 2026 berikutan kebimbangan berhubung kesan boikot dan peningkatan kos bahan mentah.
“Bagaimanapun, kami melihat kedua-dua tekanan berkenaan kini semakin reda dengan kesan boikot terhadap Nestlé Malaysia semakin berkurangan, manakala tekanan kos dijangka hanya memberi kesan sementara kepada margin keuntungan,” katanya dalam nota kajian.
Eksport, jualan runcit sokong pemulihan
Menurut AmInvest, jualan makanan dan minuman runcit di Malaysia masih berkembang pada kadar pertengahan satu digit walaupun sentimen pengguna berhati-hati, manakala tahap eksport Nestlé Malaysia kekal lebih tinggi secara struktur.
“Nestlé Malaysia yang berperanan sebagai pusat kecemerlangan pengeluaran halal global kumpulan Nestlé menjana kira-kira 20% hasil daripada eksport, sekali gus memberi sokongan kepada pertumbuhan syarikat.
“Kami menjangkakan pemulihan pendapatan disokong langkah bantuan kos sara hidup tambahan oleh kerajaan selain permintaan terhadap produk makanan dan minuman harian yang kekal,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan Nestlé sedang melaksanakan pelan penstrukturan semula global yang diumumkan pada Oktober 2025 bagi meningkatkan keuntungan dan kecekapan operasi melalui automasi, kecerdasan buatan serta model perkhidmatan berpusat.
Pelan itu membabitkan pengurangan 16,000 pekerjaan di seluruh dunia, terdiri daripada 12,000 jawatan pentadbiran dan 4,000 pekerjaan dalam pembuatan serta rantaian bekalan.
Di Malaysia, jumlah pekerja Nestlé berkurangan daripada 5,036 orang pada akhir 2024 kepada 4,765 orang pada akhir 2025 iaitu pengurangan sebanyak 271 pekerja.
Kos bahan mentah masih beri tekanan
AmInvest berkata konflik Selat Hormuz yang berpanjangan dan fenomena El Niño Super menyebabkan harga komoditi meningkat hampir ke paras 2024, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan Nestlé dalam tempoh terdekat.
“Antara bahan mentah utama yang memberi kesan ialah koko, gula, susu tepung skim dan kopi, manakala perubahan harga minyak mentah serta kadar pertukaran ringgit turut mempengaruhi kos syarikat.
“Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman lalu, kesan El Niño Super terhadap Nestlé lazimnya hanya berlangsung selama satu hingga dua suku sebelum margin kembali pulih apabila harga komoditi mula kembali ke paras normal,” katanya.
Keupayaan perolehan global Nestlé juga dijangka membantu mengurangkan tekanan kos, termasuk melalui pendigitalan proses perolehan yang membolehkan syarikat mendapatkan persaingan harga daripada pembekal secara lebih berkesan.
Pada masa sama, AmInvest melihat penstrukturan portfolio perniagaan sebagai faktor tambahan yang boleh meningkatkan kecekapan, dengan Nestlé memberi tumpuan kepada perniagaan teras seperti kopi, penjagaan haiwan peliharaan, pemakanan serta makanan dan snek.
Kumpulan Nestlé juga sedang berunding mengenai penjualan baki perniagaan ais krim antarabangsanya kepada Froneri, termasuk operasi di Asia dan Malaysia, selaras dengan usaha memfokuskan sumber kepada perniagaan teras.
Keuntungan FY2026 dijangka RM687.6 juta
Anggaran Keuntungan
Berdasarkan anggaran baharu itu, keuntungan bersih teras Nestlé dijangka meningkat daripada RM494 juta pada FY2025 kepada RM687.6 juta pada FY2026, sebelum meningkat kepada RM705.3 juta pada FY2027 dan RM803.4 juta pada FY2028.
AmInvest menilai Nestlé berdasarkan nisbah harga kepada keuntungan sebanyak 42 kali bagi FY2027/FY2028, sejajar dengan purata lima dan 10 tahun syarikat.
Firma itu berkata penilaian saham Nestlé ketika ini tidak mencerminkan sepenuhnya prospek pemulihan keuntungan, manakala rekod pembayaran dividen yang konsisten serta jumlah saham yang boleh diniagakan secara awam yang kecil dijangka mengehadkan risiko penurunan.
Antara risiko utama yang dikenal pasti ialah peningkatan kos bahan mentah susulan konflik geopolitik, wabak perosak dan penyakit, perubahan dasar serta peraturan, kelemahan ringgit dan kemungkinan kempen boikot kembali. - DagangNews.com



